823 kes, 8 kematian, 99 di ICU

327

25 OKT: Selepas mencatatkan empat angka semalam, kes harian COVID-19 hari ini melaporkan penurunan kepada 823 kes dengan penularan tertinggi terus dilaporkan di Sabah.

Walau bagaimanapun, kematian akibat COVID-19 mencatatkan lapan lagi kes menjadikan keseluruhan kes kematian kini berjumlah 229 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Sabah mencatatkan 533 kes atau 64.8 peratus daripada keseluruhan kes baru hari ini.

Katanya, penurunan ini berikutan jumlah kes baharu yang dicatatkan daripada Penjara Kepayan, Kota Kinabalu telah turun kepada 67 kes berbanding 434 kes semalam.

“Walau bagaimanapun, jumlah ini masih tinggi berbanding negeri-negeri lain. Usaha gigih mengesan lebih banyak kes akan diteruskan di seluruh negeri Sabah yang kini mempunyai 17 daerah merah.

“Buat masa ini kapasiti di sembilan buah hospital KKM di Sabah adalah 1,219 katil (kadar penggunaan 59 peratus) manakala, kapasiti di 25 buah Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) adalah 4,505 katil (kadar penggunaan 35 peratus),” katanya dalam kenyataan akhbar hari ini.

Menurut Noor Hisham, negeri-negeri di Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 99 kes hari ini yang bersamaan 12 peratus dari jumlah keseluruhan kes.

Katanya, daripada 99 kes baharu di Lembah Klang termasuk 88 kes di Selangor, 44 kes adalah daripada kluster-kluster sedia ada dan baharu.

Ujarnya, Pulau Pinang hari ini melaporkan 97 kes, Labuan (26), Negeri Sembilan (22), Sarawak (16), Johor (15), Kuala Lumpur (10), Terengganu (7), Perak (6) manakala Kedah, Kelantan dan Putrajaya masing-masing satu kes.

“Sejumlah 162 kes (19.7 peratus dari jumlah keseluruhan) pada hari ini pula adalah daripada Kluster Seberang Perai, Kluster Penjara Penjara Kepayan dan Kluster Tembok. Kes-kes ini sememangnya terasing di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Sebanyak satu kes merupakan pengunjung yang pulang dari negeri Sabah, yang menjadikan jumlah kes dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke negeri Sabah sejak 20 September 2020 adalah sebanyak 469 kes,” jelasnya.

Jelas beliau, pertambahan kes hari ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 26,565 kes.

Katanya, sebanyak 579 kes sembuh dilapor hari ini dan ini menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 9,202 kes.

“Sehingga kini, terdapat 99 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 30 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Daripada maklumat terkini yang dilaporkan, dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan lapan kes kematian berkaitan COVID-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 229 kes (0.86 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” ujarnya.

Menurut beliau, kesemua kes kematian hari ini melibatkan negeri Sabah dengan tiga kes dilaporkan di Hospital Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu dua kes dan Lahad Datu, satu kes.

“Pesakit termuda yang meninggal dunia akibat COVID-19 ialah seorang lelaki berusia 34 tahun yang meninggal dunia di Hospital Tawau,” katanya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.