Majlis Raja-Raja bincang cadangan terbaharu Kabinet

14,769

24 OKT: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semalam.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Muhyiddin telah memberi sembah taklimat cadangan-cadangan yang dicapai dalam Mesyuarat Khas Kabinet di Putrajaya, pagi semalam kepada Seri Paduka di Istana Abdul Aziz, Kuantan ketika menghadap pada jam 5 petang semalam.

Menurut beliau, dalam sesi yang berlangsung selama kira-kira 30 minit itu, Perdana Menteri mempersembahkan cadangan-cadangan tersebut untuk pertimbangan dan ampun perkenan Seri Paduka untuk pelaksanaannya.

muhyiddin
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima Perdana Menteri dan beberapa menteri Kabinet serta pegawai-pegawai tertinggi kerajaan menghadap di Istana Abdul Aziz, Kuantan, semalam.

“Oleh hal yang demikian dan susulan daripada sesi menghadap semalam, Al-Sultan Abdullah telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Sehubungan dengan itu, Al-Sultan Abdullah menasihati seluruh rakyat supaya bertenang, tidak panik dan bersabar dalam menghadapi situasi terkini ini sementara menunggu keputusan mengenai cadangan-cadangan tersebut.

“Seluruh rakyat turut dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara yang kita cintai bersama ini,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan Istana Negara, hari ini.

Pelbagai spekulasi termasuk pengisytiharan darurat kesihatan dan rombakan Kabinet timbul selepas Mesyuarat Khas Kabinet yang dipengerusikan Muhyiddin serta ekoran peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 kebelakangan ini.

Ahmad Fadil menambah, Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak COVID-19.

“Malah, Seri Paduka Baginda turut amat prihatin terhadap kegelisahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini,” jelasnya.

Berhubung dengan kenaikan mendadak kes positif harian COVID-19 dan kewujudan beberapa kluster baharu yang berterusan di negara ini, Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah mengulangi titah nasihat Seri Paduka kepada rakyat untuk terus memainkan peranan masing-masing dan berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan tatacara amalan kebiasaan baharu dalam membantu pihak berkuasa memerangi COVID-19 demi keselamatan diri serta masyarakat.

“Al-Sultan Abdullah turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Seri Paduka berdoa semoga Malaysia sentiasa dirahmati dan dilindungi dari segala bentuk ancaman serta penularan COVID-19 ini dapat dibanteras dengan berkesan dan diakhiri dengan segera,” jelasnya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.