Jangan percaya spekulasi negatif dimainkan PH

1,729

24 OKT: Rakyat diharap agar kekal tenang dan tidak mempercayai segala spekulasi negatif yang dimainkan oleh Pakatan Harapan (PH) ketika ini.

Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad berkata tindakan yang dilakukan oleh pembangkang itu mengakibatkan ketidakstabilan kepada negara di saat kerajaan Perikatan Nasional (PN) kini mencari jalan terbaik bagi menyelesaikan COVID-19 yang semakin meningkat.

“Sebarang pengumuman rasmi kerajaan harus diikuti menerusi saluran rasmi kerajaan yang benar-benar sahih.

“Rakyat juga tidak perlu termakan dengan tohmahan dan dakyah yang dilakukan oleh pembangkang yang cuba untuk mengucar-ngacirkan keamanan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

IDRIS AHMAD
IDRIS AHMAD

Beliau berkata demikian yang dilihat mengulas mengenai spekulasi pengisytiharan darurat yang kini semakin rancak dimainkan oleh pihak pembangkang.

Dalam pada itu, Idris memberitahu, seandainya berlaku pengisytiharan darurat, langkah itu dilakukan bagi menangani wabak COVID-19 yang masih dibenarkan dalam kerangka Perlembagaan dan diambil kira oleh Yang di-Pertuan Agong.

Menurutnya, kuasa prerogatif yang ada pada Yang di-Pertuan Agong sudah tentu menjadi penaung buat rakyat Malaysia yang semestinya mengambil kira semua perkara demi memastikan keharmonian, keselamatan dan kedamaian rakyat akan dapat dimiliki.

“Apa yang penting adalah soal berkaitan dengan kesihatan dan keselamatan rakyat seharusnya perlu diambil kira dan diberi tumpuan.

“Pimpinan PH juga tidak perlu menimbulkan api kekecohan melampau dalam kalangan rakyat kerana rakyat telah muak dengan ‘politiking’ dan perebutan kuasa mereka sehingga melihatkan tindakan itu tidak mempedulikan keselamatan rakyat,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.