Apa berlaku kalau darurat diisytiharkan?

983

Oleh: PROF MADYA DR SHAMRAHAYU A AZIZ

SAYA berharap kita dapat bina kefahaman tentang Perlembagaan Persekutuan, undang-undang negara kita dengan lebih mantap.

Berikut saya paparkan beberapa soalan dalam ruang komen kepada tulisan saya sebelum ini, iaitu 15 soalan dan jawapan tentang darurat. Saya sediakan jawapan dan pandangan saya.

Petikan ini saya dahulukan – Ini adalah jawapan saya kepada soalan yang dikemukakan pembaca.

SHAMRAHAYU A AZIZ
SHAMRAHAYU A AZIZ

“Sedar atau tidak sedar kita hidup hampir 40 tahun dalam keadaan pengisytiharan darurat tidak dirungkai atau tidak ditarik balik. Pengisytiharan darurat yang dibuat pada 15 Mei 1969 ditarik balik atau dibatalkan pada 20 Disember 2011. Rakyat tidak perasan pun kita dalam darurat kerana negara membangun dengan gagah dan undang-undang dilaksana dengan baik. Mahkamah berfungsi. Itulah pengalaman Malaysia kita”.

Selamat membaca, moga bermanfaat:

Soalan 1:

Prof Shamrahayu Aziz, nak tanya. Kalau perlembagaan digantung apakah maksudnya hak asasi juga terancam? Bagaimana dengan prosedur di mahkamah, apakah berjalan seperti biasa? Bagaimana proses penguatkuasaan? Apakah perlu berlandaskan perlembagaan atau boleh dilakukan sesuka hati? Contoh, kalau dlm situasi polis mahu menangkap seseorang individu yg disyaki terlibat jenayah, dlm situasi biasa polis tdk boleh berbuat sesuka hati sebaliknya perlu berlandaskan hak asasi yg terjamin dlm perlembagaan(perlu mendapatkan waran di mahkamah dsb). Kalau dlm situasi selepas pemasyhuran darurat bagaimana pula(since perlembagaan telahpun digantung)?

Jawapan:

Sedar atau tidak sedar kita hidup hampir 40 tahun dalam keadaan pengisytiharan darurat tidak dirungkai atau tidak ditarik balik. Pengisytiharan darurat yang dibuat pada 15 mei 1969 ditarik balik / dibatalkan pada 20 Disember 2011. Rakyat tidak perasan pun kita dalam darurat. Negara membangun dengan gagah dan undang-undang dilaksana dengan baik. Mahkamah berfungsi. Itulah pengalaman Malaysia kita.

Soalan 2:

Adakah Yang di-Pertuan Agong boleh memasyhurkan Ordinan itu dengan wewenangnya atau tertakluk juga kepada nasihat PM macam keadaan biasa?

Jawapan:

Yang di-Pertuan Agong, atas sifat jawatan itu, sebagai Ketua Negara, pastinya baginda tertakluk kepada etika, raja sekarang bukan raja seperti zaman feudal zaman dahulu. Baginda hendaklah mengamalkan amalan yang baik. bermesyuarat dengan pelbagai pihak.

Soalan 3:

Setahu saya bila sebut Darurat je maka Tentera berkuasa mrk boleh buat apa saja terutama kpd musuh bangsa, musuh agama, musuh negara! Atau mungkin musuh Raja² Melayu itu sendiri! Wallahualam

Jawapan:

Kalau proklamasi darurat kerana sebab keselamatan negara, mungkin betul tentera akan beramai-ramai keluar kem untuk mententeramkan keadaan. Kalau kerana kesihatan, saya fikir tidak sebgeitu tu. Aktiviti ekonomi boleh saja berjalan macam biasa. (lihat jawapan saya kepada soalan di bawah).

Soalan 4:

Prof ingin saya bertanya apa kah kesan darurat di peringkat Negeri, adakah ianya akan menjejaskan Badan Perundangan Negeri (DUN), adakah DUN juga boleh terbubar? Terima kasih Prof.

Jawapan:

Sekiranya darurat diisytihar, Parlimen, Dewan Undangan Negeri dan Kabinet tidak terbubar. Semua akan terbubar sekiranya dibubarkan. Pengisytiharan Darurat tidak akan secara automatik menyebabkan pembubaran tersebut. Kesan darurat bergantung kepada di mana darurat diisytiharkan. Sekiranya meliputi seluruh Malaysia, maka ia merangkum seluruh Malaysia. Sebab darurat boleh diisytiharkan pada mana-mana tempat yang tertentu atau seluruh Malaysia. Sebagai contoh, sekiranya di Lembah Kelang ni penularan Covid tidak terkawal, maka hanya di Lembah Kelang.

Soalan 5:

Kes Cheng Poh ni apa dia ya.. sampai dipinda perlembagaan yang tak nak mahkamah boleh menyemak kembali keputusan Yang di-Pertuan Agong?

Jawapan:

Sebab pada pandangan kerajaan semasa pindaan itu dibuat, merreka mahu memastikan Yang di-Pertuan Agong dapat melaksana pentadbiran semasa darurat dengan baik. Kepercayaan yang tinggi telah diberikan kepada Yang di-Pertuan Agong sehingga tindakan baginda tidak boleh dipersoalkan. Dengan itu Yang di-Pertuan Agong hendaklah berhati -hati supaya amanah yang bagina galas tidak melampau batas, hendaklah sentiasa bermesyuarat dengan jemaah menteri, para pakar bidang, akademik, teknokrat, penjawat awam, malah dengan sultan lain menerusi Majlis Raja-Raja. Perkara ini yang kita hendaklah sentiasa mengingatkan kepada institusi beraja. Untuk Jemaah Menteri juga mereka harus ingat juga, sebarang nasihat yang mereka berikan kepada Yang di-Pertuan Agong hendaklah benar, telus, tulus, atau berwibawa agar mereka dapat memberi gambaran sebenar tentang apa yang berlaku kepada Yang di-Pertuan Agong – agar baginda tidak dimalukan dengan keputusan tidak wajar yang berpihak kepada mana-mana parti politik.

Soalan 6:

Mohon pencerahan dari Akak Prof berkaitan Perkara 149 , adakah ianya menjadi asas kepada berlakunya Perisytiharan Darurat? Menurut Akak Prof, apakah keterangan dalam Perkara 149(1) telah atau sedang berlaku dalam negara?

Jawapan:

Perkara 149 ada pelbagai tujuan. Mungkin bagi ancaman yang berlaku di luar negara atau dalam negara. Contoh jenayah terancang berlaku di luar negara, kita boleh menggunakan undang-undang pencegahan yg dibuat di bawah Per. 149. Kalau subeversif ia boleh ditangani melalui 149, tapi kalau subversif berterusan, perlu isytihar darurat. Jadi betul juga kalau dikatakan bunga-undang ancaman boleh digunakan 149, tapi kalau ancaman berterusan, makan proklamasi darurat bawah 150 mungkin diperlukan. Peristiwa lama semasa British, ancaman komunis mulanya kelihatan tidak berbahaya kepada British dan ia ditangani dengan undang-undang menangani subversif. Tetapi apabila ladang British dibakar dan pegawai British dibunuh, British mengisytiharkan darurat.

Penulis ialah pakar Perlembagaan Persekutuan. Tulisan ini dipetik dari laman Facebook beliau.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.