Anwar punca politik Malaysia tak stabil

5,341

24 OKT: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin terlupa bahawa tindakannya baru-baru ini yang mencetuskan ketidakstabilan politik dan mengganggu usaha memerangi COVID-19.

Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata, Ahli Parlimen Port Dickson itu yang mengadakan sidang media untuk mendakwa kononnya kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah timbang.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menambah, Anwar juga mendakwa kononnya mempunyai ‘majoriti yang kukuh dan meyakinkan’ walaupun beliau tidak memberi satu nama pun Ahli Parlimen yang dikatakan menyokongnya.

ZZURAIDA KAMARUDDIN
ZURAIDA KAMARUDDIN

“Lebih memburukkan keadaan, Anwar gagal mempersembahkan nama-nama Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya semasa menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Ketika beliau berterusan memainkan drama semberonon yang tidak berkesudahan ini, kerajaan pimpinan Muhyiddin bergelut dengan pandemik global setiap hari.

“Saya tidak dapat membayangkan bagaimana seorang pemimpin politik kanan boleh berkelakuan sebegitu ketika negaranya berdepan dengan krisis kesihatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Malam tadi, Anwar dalam kenyataan medianya secara membuta-tuli memperlekehkan usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerangi COVID-19.

Beliau turut menyuarakan perasaan tidak puas hati tentang kemungkinan kerajaan mengisytiharkan darurat kesihatan yang dilihat banyak pihak sebagai salah satu kaedah mengekang pandemik tersebut yang mencatatkan peningkatan kadar penularan pada masa ini.

Zuraida turut mempersoalkan kewajaran Anwar menuduh kerajaan PN tidak telus sedangkan beliau sendiri gagal bersikap telus apabila tidak mempersembahkan senarai nama Ahli Parlimen yang menyokongnya kepada Seri Paduka.

“Ketika negara dilanda krisis besar, Anwar sepatutnya mengetepikan cita-cita peribadinya dan menyokong kerajaan sedia ada.

“Tindakan itu adalah lebih sesuai untuk seorang pemimpin yang bersifat negarawan,” jelasnya.

Beliau menambah, tindakan Anwar itu juga telah mencetuskan persoalan tentang kelayakan Anwar untuk menduduki jawatan tertinggi di negara ini.

“Jawatan yang dikejarnya dengan bersungguh-sungguh tanpa mempedulikan kebajikan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Zuraida meminta Anwar meluangkan masa untuk bermuhasabah diri. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.