Annuar minta pandangan pakar perundangan

979

24 OKT: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa meminta pandangan orang ramai cara terbaik mengelak berlakunya pilihan raya ketika negara masih berdepan ancaman COVID-19.

Pandangan ini dipohon oleh Annuar selepas dikatakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerima cadangan untuk mengisytiharkan darurat dan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin sudah mengadap Yang di-Pertuan Agong di Kuantan, Pahang lewat petang semalam.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu turut membangkitkan pertanyaan yang sama dibangkitkan oleh rakyat Sarawak yang mahu supaya pilihan raya negeri itu ditangguhkan kerana bimbang apa yang telah terjadi di Sabah berikutan Pilihan Raya Negeri (PRN) yang diadakan di situ.

annuar musa
ANNUAR MUSA

“Kepada sahabat saya yang punya ilmu undang undang, terutamanya pakar-pakar perlembagaan..bantu saya mencari jawapan iaitu yang pertama mengenai PRK Batu Sapi wajib diadakan dalam tempoh 60 hari dari kekosongan.

“Tapi rakyat minta PRK ditangguhkan dan pegawai takut untuk ke zon merah. Begitu juga tempoh DUN Sarawak tamat beberapa bulan lagi dan PRN wajib diadakan.

“Namun semua orang takut apa yg berlaku di Sabah selepas PRN menimpa Sarawak. Mereka minta PRN ditangguh dulu,” katanya menerusi hantaran Facebook miliknya, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas pandangan seorang peguam yang merumuskan bahawa darurat tidak perlu diisytiharkan kerana masih ada undang-undang yang boleh diguna pakai untuk membantu usaha membendung COVID-19.

Annuar menyatakan Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit mencukupi untuk membendung wabak tersebut serta membantu rakyat yang terkesan.

Dalam pada itu Annuar turut mempersoalkan tentang tindakan pelbagai pihak juga mengugut mahu menjatuhkan Perdana Menteri melalui sidang Parlimen bulan depan.

“Jika itu berlaku maka PM boleh bubarkan parlimen dan PRU perlu diadakan tetapi rakyat tidak mahu piliha nraya diadakan kerana takut merebaknya COVID-19.

“Kuasa apa dan undang undang undang mana boleh kita tangguh perebutan kuasa ini?

“Atau demi mendahulukan demokrasi dan takut dituduh macam-macam oleh pembangkang, kita biarkan saja berlaku pilihan raya di sana sini. Nyawa rakyat serah pada takdir,” katanya.

Tambah beliau, kini beribu rakyat di hospital dan beribu petugas barisan hadapan serta anggota keselamatan terpaksa menjalani kuarantin malah berbillion dana negara terpaksa dibelanjakan.

“Itu dalam keadaan Malaysia diiktiraf dunia sebagai negara paling berjaya mengekang penularan wabak ini.

“Bagaimana agaknya kalau dalam tempoh dua tiga bulan ini kita mendahulukan perebutan kuasa politik demi demokrasi di saat rakyat sedang bertarung nyawa dengan ancaman COVID-19,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.