585 individu ditahan langgar arahan PKPP

131

24 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seramai 585 individu atas kesalahan melanggar dan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata daripada jumlah tersebut 569 individu telah dikenakan kompoun manakala 13 individu direman dan tiga lagi dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKPP termasuk lah tidak memakai pelitup muka (224), penjarakan fizikal (199), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (96)
dan lain-lain (66).

“Task Force akan terus mempertingkatkan pemeriksaan serta mengambil tindakan ke atas pemilik premis dan orang awam yang tidak mematuhi SOP PKPP yang ditetapkan. katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memberitahu, seramai 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan serta lapan kenderaan berat berjaya dirampas.

Tegas beliau, pihak berkuasa juga telah membuat 297 sekatan jalan raya (SJR) bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya di lorong-lorong tikus.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.

“Agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus.

“Pada waktu ini, Ops Benteng lebih memfokuskan kepada pendekatan pengusiran terhadap PATI berbanding tangkapan,” tegasnya.

Sementara itu, sehingga semalam seramai 53,659 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Tambahnya, daripada jumlah itu, seramai 8,378 individu sedang menjalani kuarantin wajib di 67 hotel dan 17 premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Johor, Sarawak, Kelantan, Perak, Kedah, Perlis, Terengganu, Sabah dan Labuan.

“381 individu pula telah dibawa ke hospital untuk rawatan manakala 44,900 individu telah di discaj dan dibenarkan pulang ke rumah,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.