PRN: Sarawak rujuk KKM pastikan keselamatan rakyat

71

23 OKT: Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg, menegaskan beliau tidak akan ‘memperjudikan’ atau mempertaruhkan nyawa rakyatnya dengan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.

Berikutan itu, Abang Johari berkata, beliau akan mendapatkan pandangan pakar terutama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum menentukan bilakah tarikh sesuai untuk mengadakan PRN ke-12 kerana beliau lebih mengutamakan soal keselamatan dan kebajikan rakyat Sarawak.

Bagaimanapun, Abang Johari berkata, kerajaan negeri tetap perlu mengadakan PRN bagi mendapatkan mandat baharu kerana tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak akan berakhir pada April tahun depan.

“Kita tidak dapat mengelak daripada mengadakan pilihan raya kerana jangka hayat DUN sekarang akan berakhir tidak lama lagi.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) kini sedang meneliti dua isu utama ini, pilihan raya dan COVID-19,” katanya pada sidang media Bantuan Khas Sarawakku Sayang 4.0 (BKSS 4.0) di Wisma Bapa Malaysia, Kuching, hari ini.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, selepas tempoh DUN berakhir pada April tahun depan, Sarawak mempunyai tempoh 120 hari lagi iaitu sehingga Jun tahun depan sebelum pembubaran berlaku secara automatik.

“Kita tidak dapat meramalkan bila COVID-19 akan tinggal satu angka atau berakhir sepenuhnya dan kami akur dengan nasihat KKM bila pilihan raya harus diadakan. Ini bukan bermakna saya gila kuasa.

“Saya juga faham dan prihatin dengan keselamatan kesihatan rakyat, tetapi kita tidak boleh mengatur dan melaksanakan langkah-langkah untuk membantu rakyat daripada pandemik COVID-19 jika kita tidak mempunyai mandat,” katanya.

Abang Johari mengakui, situasi sekarang amat rumit kerana beliau harus mempertimbangkan antara keselamatan rakyat dan perlunya kerajaan memiliki mandat untuk mentadbir dan menguruskan ekonomi ketika dilanda wabak COVID-19.

“Yang penting kita mesti mempunyai pemerintah yang mempunyai mandat bukan hanya untuk mengurus COVID-19, tetapi juga untuk mentadbir negeri dan menguruskan ekonomi,” katanya.

Abang Johari berkata, beliau tidak mahu peningkatan kes seperti yang berlaku di Sabah turut berlaku di Sarawak selepas pilihan raya.

“Pilihan raya di Sabah berbeza dengan pilihan raya yang akan diadakan di Sarawak kerana di sana ia dilaksanakan kerana tercetus pertikaian pemimpin tetapi Sarawak pula tempoh DUN berakhir yang menuntut pilihan raya mesti diadakan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.