PM akan umum perintah darurat kesihatan?

7,727

23 OKT: Kerajaan dijangka mengumumkan ‘darurat kesihatan’ dalam tempoh terdekat bagi lebih tumpuan kepada usaha menangani isu penularan wabak COVID-19 dalam komuniti di Malaysia sekarang ini.

Menurut sumber, pelaksanaan ‘darurat kesihatan’ itu turut dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama anggota Kabinet di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, pagi tadi.

Sumber berkata, Perdana Menteri juga sudah mendapatkan pandangan daripada pihak berkenaan termasuk Peguam Negara, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Peguam Negara, dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung langkah terbaharu bakal diambil kerajaan itu.

Kabinet
Menteri-menteri Kabinet masih mengunci mulut tentang mesyuarat di Putra Perdana pagi tadi.

Difahamkan, kerajaan terpaksa melaksanakan ‘darurat kesihatan’ berikutan terdapat kebimbangan mengenai peningkat kes COVID-19 terutama di Sabah, Selangor dan Kedah ketika ini, selain rayuan pengurusan tertinggi pasukan petugas barisan hadapan terutamanya KKM.

“Pelaksanaan darurat kesihatan ini penting bagi membolehkan kerajaan terutamanya MKN dan KKM memperketatkan lagi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam masyarakat berdasarkan norma baharu.

“Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu bimbang kerana ia bukan perintah berkurung dan mereka masih boleh keluar dari rumah untuk membeli barangan keperluan harian seperti biasa dengan syarat perlu mematuhi SOP ditetapkan kerajaan,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Malah, spekulasi mengenai kemungkinan kerajaan akan mengumumkan darurat kesihatan bertambah kuat apabila ada khabar angin mengatakan bahawa Perdana Menteri dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong kira-kira jam 4 petang ini bagi mendapatkan perkenan Seri Paduka berhubung perkara itu.

Dalam pada itu, usaha wakil media yang menunggu hampir 3 jam pekarangan Bangunan Perdana Putra mulai jam 9 pagi hingga 12.30 tengah hari tadi untuk mendapatkan komen anggota Kabinet mengenai perkara dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Kabinet tidak berhasil apabila semua menteri Kabinet enggan memberhentikan kenderaan masing-masing apabila melalui kawasan itu

Terdahulu, lebih 20 pengamal media termasuk wartawan dan jurugambar pelbagai agensi berita ‘berkampung’ di luar pekarangan bangunan sejak pukul 8.30 pagi tadi bagi mendapatkan maklumat mengenai mesyuarat khas itu.

Pengamal media yang berkampung di luar bangunan cuba mendapatkan reaksi dan komen daripada menteri Kabinet yang hadir sejurus mesyuarat berakhir namun, mereka langsung tidak menurunkan tingkap kenderaan sebaik disapa wartawan.

Sebelum ini pelbagai khabar angin tersebar di media sosial kononnya ada rombakan Kabinet yang akan diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini.

Malah, ada sumber lain memaklumkan mesyuarat itu membincangkan situasi terkini penularan wabak COVID-19 serta usaha mengekang wabak berkenaan susulan peningkatan mendadak kes positif akhir-akhir ini.

Terdahulu, kenderaan membawa Perdana Menteri tiba di Bangunan Perdana Putra dan dilihat memasuki pintu utama Bangunan Perdana Putra kira-kira pukul 8.57 pagi.

Antara anggota Kabinet yang hadir mesyuarat khas berkenaan termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Luar Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohammad Al-Bakri.

Turut kelihatan termasuk Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd. Khairudin Aman Razali dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Selain itu turut kelihatan memasuki pekarangan Bangunan Perdana Putra ialah Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.