Pelarian Rohingya terima dana tambahan RM2.47 bilion

197

23 OKT: Etnik Rohingya yang mendapatkan perlindungan di Bangladesh untuk melarikan diri daripada keganasan terhadap mereka di Myanmar menerima dana tambahan sebanyak AS$597 juta (RM2.47 bilion) daripada penderma antarabangsa.

Setakat ini, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berjaya mengumpulkan sebanyak AS$636 juta (RM2.63 bilion) bantuan kemanusiaan untuk pelarian Rohingya.

Secara keseluruhan, badan dunia itu memerlukan lebih AS$1 bilion (RM4.1 bilion) tahun ini untuk menampung keperluan kemanusian kira-kira 800,000 pelarian Rohingya di Bangladesh.

Memetik laporan AFP, dalam persidangan secara maya dihoskan bersama oleh Suruhanjaya Tinggi PBB bagi Pelarian (UNHCR), Britain, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU), penderma menjanjikan bantuan sebanyak AS$597 juta (RM2.47 bilion) lagi.

AS bersedia menyalurkan dana AS$200 juta (RM829.1 juta), EU pula AS$113.5 juta (RM470.5 juta) dan Britain AS$63 juta (RM261.1 juta) manakala China serta Rusia menolak jemputan untuk mengambil bahagian.

UNCHR memberitahu, 860,000 pelarian Rohingya tinggal di kem pelarian di Cox’s Bazar di tenggara Bangladesh.

Seramai 740,000 etnik Rohingya melarikan diri melintasi sempadan semasa serangan tentera di Myanmar pada 2017, yang kini dihadapkan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai.

Negara serantau turut menampung sekitar 150,000 pelarian Rohingya manakala sekitar 600,000 orang tinggal di wilayah Rakhine, Myanmar.

Dalam pada itu, Menteri Luar Bangladesh, Shahriar Alam berkata, negaranya sedang bergelut untuk mengatasi keadaan itu dan tidak mampu lagi memikul beban itu.

“Rohingya harus kembali ke negara asal mereka secepat mungkin, kita mesti ingat bahawa mereka bukan rakyat Bangladesh dan berada di sini hanya untuk sementara waktu.

“Kos bagi menampung mereka ditanggung rakyat kita, kesan terhadap keselamatan, sumber, ekonomi, persekitaran serta ekologi sangat besar, tidak dapat diukur dan dalam aspek tertentu, tidak dapat dipulihkan.

“Keadaan kini bertambah rumit baik bagi kami (Bangladesh) yang menjadi tuan rumah mahupun etnik Rohingya sendiri,” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.