Mesyuarat khas Kabinet pagi ini

1,272

23 OKT: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Perdana Putra di Putrajaya pagi ini, dipercayai bagi membincangkan isu-isu semasa.

Kenderaan Perdana Menteri dilihat memasuki perkarangan Perdana Putra pada jam 8.57 pagi, bagi mempengerusikan mesyuarat yang dijangka bermula 9.30 pagi tadi.

Beberapa kenderaan yang dinaiki menteri-menteri Kabinet juga dilihat memasuki Perdana Putra, dan sebelum memasuki perkarangan bangunan tersebut, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan suhu.

Antara yang kelihatan ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Hussein; Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohammad Al Bakri; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa.

Kenderaan yang membawa Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Affendi Buang turut dilihat memasuki Perdana Putra pada kira-kira 9 pagi.

Sekumpulan pengamal media berkumpul di laluan masuk ke Perdana Putra sejak awal pagi tadi.

shamsul anuar nasarah
Sebuah kenderaan yang membawa seorang menteri Kabinet meninggalkan perkarangan Perdana Putra selepas mesyuarat berakhir.

Kenderaan yang membawa menteri-menteri Kabinet dilihat keluar dari perkarangan Putra Perdana mulai jam 12.30 tengah hari tadi.

Namun, mereka terus meninggalkan lokasi tanpa memberi sebarang kenyataan kepada pengamal media yang menunggu di situ.

Difahamkan, mesyuarat khas itu membincangkan Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen pada 6 November ini.

Mesyuarat berkenaan juga dipercayai tidak membincangkan tentang kemungkinan rombakan Kabinet.

Setakat ini, Pejabat Perdana Menteri belum mengeluarkan kenyataan berhubung mesyuarat tersebut.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.