MAHB saman Air Asia X, tuntut RM78 juta

146

23 OKT: Air Asia X Bhd didakwa gagal membayar RM78.16 juta caj penerbangan tertunggak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kepada Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Sehubungan itu, MAHB melalui anak syarikat milik penuhnya, Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MASSB) memfailkan writ saman dan penyata tuntutan terhadap Air Asia X di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menuntut tunggakan tersebut.

“Caj tertunggak penerbangan itu terdiri daripada caj perkhidmatan penumpang, caj perkhidmatan keselamatan penumpang, caj aerobridge, caj parkir pesawat, caj kaunter daftar masuk, caj pendaratan dan caj bayaran lewat,” kata MAHB seperti dipetik daripada makluman kepada Bursa Malaysia.

Sebagai sebahagian daripada tuntutan itu, MASSB juga meminta perintah bagi hak memegang harta berterusan dan berkontraknya ke atas harta pengguna AirAsia X di KLIA dan hanya akan dilunaskan apabila dijelaskan sepenuhnya oleh syarikat penerbangan itu daripada jumlah keseluruhan hutang.

MAHB berkata, harta pengguna itu termasuk mana-mana pesawat, peralatan, aksesori, kenderaan, kelengkapan dan/atau sebarang harta lain milik dan/atau di bawah kawalan AirAsia X atau mana-mana pengendali darat yang dilantik oleh syarikat penerbangan itu.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.