639 orang dicekup ingkar arahan PKPP

87

23 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan seramai 639 individu semalam atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 634 individu telah dikompaun manakala empat direman dan seorang dijamin.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk penjarakan fizikal (228), tidak memakai pelitup muka (209), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran diri (106), aktiviti pusat hiburan (15) dan kesalahan-kesalahan lain (81),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menambah, Ops Benteng semalam menyaksikan pasukan keselamatan berjaya menangkap 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas dua bot serta tiga kenderaan darat.

Berhubung kuarantin wajib, Ismail Sabri memberitahu, sejak 24 Julai lalu sehingga semalam, seramai 52,841 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 66 Hotel dan 17 premis lain di seluruh negara.

Selain itu, katanya, Ops Sanitasi Awam di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sejak 30 Mac lalu telah melakukan 10,682 operasi sanitasi merangkumi 136 zon.

“Sebanyak 13,312 premis telah disanitasi yang terdiri daripada 2,739 pusat perniagaan, 1,612 kawasan perumahan termasuk projek perumahan rakyat (PPR), 2,645 tempat awam, 354 pasar raya, dan 5,962 bangunan kerajaan.

“Semalam (22 Oktober 2020), sebanyak 29 operasi sanitasi meliputi 6 zon Merah, 12 zon Kuning dan 8 zon Hijau yang melibatkan 11 buah negeri iaitu Kedah (5 operasi), Melaka (5 operasi), Sabah (4 operasi), Sarawak (3 operasi), Negeri Sembilan (2 operasi), Pulau Pinang (2 operasi), Terengganu (2 operasi), Pahang (1 operasi), Perlis(1 operasi), Perak
(1 operasi) serta Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur (1 operasi), Labuan (1 operasi) dan Putrajaya (1 operasi),” jelasnya.

Ismail Sabri turut memberi jaminan bahawa bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

“Pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah melakukan 1,096 pemeriksaan khas Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPP dan mendapati 1,078 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan manakala 18 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.