Sambut seruan gencatan, kukuhkan kerjasama

125

22 OKT: Semua pimpinan Perikatan Nasional (PN) perlu menunjukkan kesungguhan dan keikhlasan bagi merealisasikan gencatan politik dengan mengelak kenyataan terbuka yang boleh mengeruhkan hubungan antara parti.

Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata panduan jelas wajar diberi kepada semua ahli supaya kerjasama dapat diperkukuh di semua peringkat parti termasuk di akar umbi.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, Armada BERSATU sedia berperanan aktif sebagai pihak berkecuali dalam menjayakan perbincangan ke arah ini.

“Mudah-mudahan usaha ke arah persefahaman dan perdamaian ini diberkati Allah dan beroleh kejayaan demi rakyat Malaysia seluruhnya.

“Kami dengan sepenuh harapan dan mendukung cita awam meminta semua pihak khususnya sayap-sayap pemuda parti politik mengetepikan sengketa dan menyambut seruan gencatan politik ini dengan sepenuh ketulusan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata, Armada BERSATU menyambut baik kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, supaya semua pihak menerima gencatan politik, mengukuhkan PN dan memberi fokus kepada agenda membantu rakyat mendepani wabak COVID-19 dan kegawatan ekonomi.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, Armada BERSATU berharap semua pihak bekerjasama menjamin kestabilan politik supaya seluruh usaha dapat ditumpukan untuk mengalahkan gelombang ketiga wabak COVID-19.

Katanya, sokongan padu tetap diberi kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, terus menerajui negara ketika Malaysia berdepan krisis.

“Jangan ada mana-mana pihak mengganggu-gugat pentadbiran negara di bawah PN yang sedang menumpukan sepenuh usaha untuk melindungi rakyat daripada penularan Covid-19 yang semakin membimbangkan,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.