PKPD 8 lokaliti, 9 penjara

190

22 OKT: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di lokaliti Anjung Teduh FELDA Sahabat Lahad Datu, berkuat kuasa 24 Oktober sehingga 6 November ini berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan itu.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD itu akan melibatkan 544 unit rumah dengan seramai 4,629 orang penduduk.

Menurut beliau, dengan pelaksanaan perintah itu, semua penduduk dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk semua penduduk di kawasan terlibat tidak dibenarkan keluar daripada kawasan PKPD.

“Namun demikian, sedikit kelonggaran akan diberikan terhadap aktiviti perniagaan kedai runcit untuk beroperasi dari jam 6 pagi sehingga 6 petang bagi memberi peluang kepada penduduk membeli barang keperluan asas.

“Bagi kes kecemasan seperti sakit dan kematian, mereka dibenarkan untuk keluar tetapi perlu mengemukakan permohonan pergerakan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail Sabri memberitahu, Kementerian Kesihatan akan melakukan saringan secara bersasar kepada semua penduduk yang terlibat.

Beliau menambah, bekalan keperluan makanan bagi yang memerlukan akan diagihkan oleh kerajaan negeri yang akan dikoordinasi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri.

“Bagi memastikan pematuhan perintah ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pihak berkuasa tempatan dan pegawai yang diberi kuasa, akan mengawal seluruh kawasan terlibat.

“Maklumat lanjut dan SOP berkaitan boleh dirujuk di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN),” jelasnya.

Ismail Sabri turut mengumumkan lanjutan PKPD di enam lokaliti di Semporna dan satu lokaliti di Kunak, Sabah mulai 11 hingga 24 Oktober ini.

Enam lokaliti terbabit di Semporna ialah Kampung Bangau-Bangau, Kampung Panji, Kampung Air, Kampung Selamat, Kampung Simunul, Kampung Pinggir Bakau dan satu lokaliti di Kunak ialah Kampung Pangkalan.

Selain itu, beliau berkata, PKPD juga dikuatkuasakan di lima penjara di Zon Utara dan empat penjara di Zon Selangor mulai hari ini hingga 4 November.

PKPD penjara Zon Utara melibatkan Pusat Koreksional Perlis, Penjara Sungai Petani, Penjara Taiping, Pusat Koreksional Kamunting dan Penjara Tapah.

Bagi Zon Selangor pula, PKPB berkuat kuasa di Penjara Reman Sungai Buloh, Penjara Kajang, Penjara Wanita Kajang dan Pusat Koreksional Puncak Alam.

SOP bagi PKPD di kesemua penjara dan kuarters penjara ini adalah sama seperti SOP PKPD penjara yang telah dilaksanakan sebelum ini.

Antara SOP yang telah ditetapkan adalah seperti berikut:

• Pergerakan keluar masuk tidak dibenarkan melibatkan kawasan ini termasuk lawatan oleh ahli keluarga tahanan adalah tidak dibenarkan.

• Pergerakan staf penjara ditentukan berdasarkan SOP yang dikeluarkan oleh Jabatan Penjara Malaysia

• Tahanan yang akan dibebaskan semasa tempoh PKPD akan diasingkan daripada tahanan yang lain. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.