Pemuda UMNO tetap tolak Anwar, DAP

113

22 OKT: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia kekal dengan pendirian menolak sebarang kerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pun mana-mana parti dalam Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada, hanya bertujuan memenuhi cita-cita Presiden PKR itu menjadi Perdana Menteri.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu adalah sebahagian inti keputusan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pemuda yang bermesyuarat secara dalam talian, malam tadi.

Menurut beliau, mesyuarat berkenaan juga sebulat suara menyokong gencatan politik seperti disarankan Presiden UMNO, Datuk Seri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi sekali gus dihentikan segera sebarang polemik perebutan kuasa di saat rakyat susah dan gelisah mengharungi cabaran pandemik COVID-19 termasuk natijah kegawatan ekonomi yang melanda.

“Kita juga mendesak kerajaan supaya segera menyediakan Pelan Tindakan Khas untuk menangani kemelut 2.4 juta rakyat yang bakal kehilangan pekerjaan dan lebih 1.26 juta rakyat yang dijangka mengalami kemiskinan bagi tempoh beberapa bulan akan datang.

“Pemuda UMNO juga menyarankan kerajaan melanjutkan moratorium secara pukal sekurang-kurangnya bagi tempoh 3 bulan lagi,” katanya dalam satu kenyataan menerusi laman Facebook miliknya hari ini.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO juga meminta kerajaan mempertimbangkan bantuan tambahan RM1,000 setiap penerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) Sabah yang cuma menelan kos RM737 juta.

“Ini jauh lebih pantas dan berkesan berbanding hantaran bantuan bakul makanan yang dirumitkan oleh masalah logistik dan rekod penerima yang tidak lengkap.

“Kita juga akan menggerakkan jentera Pemuda UMNO di seluruh 191 bahagian bagi menjadi pemudahcara antara rakyat dengan agensi-agensi kerajaan bagi membantu mereka khususnya anak-anak muda yang sedang dihimpit kesusahan akibat hambatan ekonomi dan sosial,” katanya.

Semalam, UMNO menyatakan pendirian mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara mendepani pandemik COVID-19 serta kegawatan ekonomi.

Ahmad Zahid berkata, UMNO akan melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan dan kegelisahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.

UMNO turut mengarahkan semua kepimpinan parti yang berada dalam Kabinet ketika ini memberikan sepenuh tumpuan kepada usaha untuk membantu rakyat dan meringankan beban yang ditanggung mereka akibat dampak ekonomi dan pandemik COVID-19. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.