Pembangunan Iskandar Malaysia tak pinggir penduduk

141

22 OKT: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berpuas hati penduduk di Iskandar Malaysia terus mendapat manfaat hasil pembangunan di wilayah tersebut dan menyokong lebih banyak inisiatif berpaksikan rakyat yang boleh meningkatkan lagi taraf hidup mereka.

Beliau yang juga pengerusi bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) berkata, sebagai sebuah wilayah ekonomi, Iskandar Malaysia mencatatkan pencapaian pelaburan yang cemerlang sejak ia dibuka sehingga sekarang.

“Bagaimanapun, saya lebih teruja melihat banyak pencapaian wilayah itu dalam memastikan rakyat tidak terpinggir dan membangunkan komuniti yang padu dan berdaya tahan di tengah-tengah pembangunan pesatnya,” katanya selepas mesyuarat Ahli-Ahli Pihak Berkuasa (MoA) IRDA menerusi sidang video Isnin lalu.

MUHYIDDIN YASSIN
MUHYIDDIN YASSIN

Kenyataan mengenai mesyuarat itu dikeluarkan oleh IRDA, semalam.

Menurut IRDA, Iskandar Malaysia merekodkan jumlah pelaburan terkumpul sebanyak RM322.1 bilion dari 2006 hingga Jun 2020, dengan lebih 750,000 pekerjaan diwujudkan sepanjang tempoh itu.

Muhyiddin memberitahu, dengan menggunakan data yang dikumpulkan oleh pertubuhan masyarakat sivil (CSO) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta memanfaatkan teknologi untuk menganalisis data ini, ia akan membantu pihak berkuasa dan rakan kongsi lain di Iskandar Malaysia untuk menyediakan penyelesaian dan inisiatif lebih efektif dan berasaskan bukti bagi kesejahteraan rakyat.

Inisiatif lain yang dicadangkan adalah untuk meningkatkan kecekapan dan kemahiran pemimpin institusi berasaskan komuniti.

“Cadangannya adalah agar masyarakat dan wakil serta pemimpin komuniti yang dilantik menjalani latihan pembinaan kapasiti berstruktur bagi meningkatkan lagi keberkesanan peranan mereka dalam membantu kerajaan memperkasakan rakyat.

“Cadangan ketiga adalah untuk menyokong inisiatif Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) kerajaan dengan menggabungkan modul pembelajaran literasi kewangan dalam semua program pemerkasaan sedia ada,” katanya.

Muhyiddin berkata, meskipun dua inisiatif kerajaan itu akan menyediakan sokongan kewangan segera dan bantuan kepada rakyat, kemahiran perancangan kewangan yang baik akan membantu mereka dalam mengatur dan menyebarkan sumber kewangan mereka.

“Saya percaya Ahli-Ahli Pihak Berkuasa IRDA bersetuju dengan saya dalam agenda berpaksikan rakyat di Iskandar Malaysia dan menyokong cadangan inisiatif untuk membantu lagi rakyat, terutamanya semasa dan selepas pandemik COVID-19,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata agenda perkongsian kesihatan dan keterangkuman dalam Pelan Pembangunan Komprehensif (CDPii) bertujuan untuk mencapai kekayaan yang sama rata bagi masyarakat yang tinggal di Iskandar Malaysia.

“Aspek penting dalam memastikan kemampanan agenda ini adalah bagi memastikan ekosistem menggalakkan hubungan sosial untuk membantu masyarakat menyertai proses membuat keputusan dan pelaksanaan inisiatif berasaskan tempatan,” jelasnya.

Beliau menambah, satu cadangan utama dibangkitkan semasa mesyuarat MoA adalah untuk mengatur usaha pengumpulan data menerusi pertubuhan masyarakat sosial (CSO) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan penggunaan teknologi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.