Pelitup muka tetap kena pakai walau berpurdah

157

22 OKT: Wanita yang memakai purdah dan niqab masih perlu memakai pelitup muka ketika di tempat awam kerana purdah sahaja tidak mampu menghalang penularan COVID-19 kerana virus itu masih boleh ditembusi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, hanya dua jenis pelitup muka yang mampu mengelak jangkitan virus tersebut iaitu pelitup muka perubatan dan bukan perubatan.

“Kena pastikan tiga lapisan, purdah satu lapisan tidak cukup (melindungi dari dijangkiti).

“Jadi kita syorkan mereka yang pakai purdah dan kena pakai pelitup muka fabrik atau pun tiga lapisan,” katanya pada sidang media perkembangan terkini COVID-19 di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai keperluan pemakaian pelitup muka bagi wanita berpurdah.

Sementara itu, Noor Hisham memaklumkan lebih 1,000 kes positif membabitkan pelajar sekolah direkodkan sejak gelombang ketiga wabak COVID-19 melanda negara ini.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 587 pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun manakala 670 lagi adalah pelajar berusia antara 13 hingga 18 tahun.

“Sejak Februari hingga 21 Oktober lalu, kumpulan pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun yang dikesan dijangkiti adalah seramai 830 dan bagi kumpulan umur 13 hingga 18 tahun adalah seramai 1,315.

“Bagaimanapun, permulaan gelombang ketiga antara 20 September hingga 21 Oktober, seramai 587 pelajar berusia tujuh hingga 12 tahun dijangkiti manakala jangkitan membabitkan pelajar berusia 13 hingga 18 tahun adalah seramai 670 individu,” katanya.

Pada sidang media itu juga, beliau sekali lagi menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan iklan ubat-ubatan dalam talian yang kononnya berkesan untuk merawat COVID-19.

Tegas beliau, setakat ini, tiada lagi mana-mana ubat yang disahkan berkesan serta mampu merawat individu daripada jangkitan COVID-19.

Katanya, sekiranya wujud ubat yang mampu menyembuhkan COVID-19 ini, sudah tentu individu itu telah menjadi seorang jutawan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.