Malaysia, AS perlu wujud platform bincang isu sawit

56

22 OKT: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) berpandangan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) perlu mewujudkan satu platform yang lebih adil bagi menangani dakwaan serta tuduhan yang boleh menjejaskan aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara.

Berikutan itu, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali mengadakan pertemuan dengan pegawai kanan pengurusan Holdings Bhd (FGV) diketuai oleh Ketua Pegawai Komunikasi Strategik Kumpulan FGV, Datuk Najmuddin Abdullah bagi membincangkan pelbagai isu.

Mohd Khairuddin berkata, antara topik dibincangkan ialah isu membabitkan dakwaan AS ke atas FGV yang dikatakan mengamalkan buruh paksa selain perkembangan terkini pembangunan industri sawit negara.

Beliau berkata, KPPK mengambil maklum dan memandang serius susulan beberapa insiden yang melibatkan penahanan
eksport produk agrikomoditi Malaysia oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS kebelakangan ini.

Berikutan itu, KPPK berpandangan perlunya satu platform yang lebih adil bagi Malaysia dan AS berunding bagi menangani dakwaan serta tuduhan yang boleh menjejaskan aktiviti perdagangan antara kedua-dua negara.

“KPPK dimaklumkan FGV telah menunjukkan komitmen yang tinggi serta mengambil langkah perlu dalam usaha membatalkan WRO sejak petisyen dikemukakan.

“FGV juga telah mengambil tindakan sewajarnya untuk memperbaiki sistem pengambilan buruh asing serta menetapkan piawaian pekerja yang bersesuaian dalam memastikan kebajikan pekerja terpelihara selaras dengan hak
asasi manusia.

“Tidak dinafikan, AS adalah pasaran penting bagi produk agrikomoditi Malaysia yang merupakan antara penyumbang terbesar kepada pendapatan eksport negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, bagi tempoh Januari-Ogos 2020, jumlah eksport agrikomoditi ke negara berkenaan bernilai RM14.10 bilion.

Bagaimanapun, Mohd Khairuddin berkata, dengan insiden yang semakin kerap berlaku, KPPK bersedia untuk mempertimbang tindakan yang sewajarnya bagi menangani isu terbabit.

“Pada tahun 2018, KPPK dengan kerjasama Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) selaku perunding teknikal kajian telah melaksanakan kajian menyeluruh situasi buruh dalam sektor perladangan sawit Malaysia.

“Ia dijalankan bagi memastikan hasil kajian yang lebih komprehensif. Kajian ini telah dibentangkandan diterima oleh Kabinet dan akan dikemukakan kepada Jabatan Buruh (DOL) AS.

“Sebagai salah satu inisiatif untuk mengeluarkan sektor perladangan sawit Malaysia daripada senarai Trafficking Victims Protection Reauthorization Act(TVPRA) yang menjadi rujukan kepada CBP AS dalam membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata, langkah berkenaan diharap dapat mengelakkan sekatan ke atas produk agrikomoditi negara pada masa hadapan.

Katanya, kementerian menyarankan agar pihak industri sawit termasuk FGV untuk terus meneroka pasaran baharu mengambil kira situasi pandemik COVID-19 masa kini dengan memfokuskan eksport sawit ke negara-negara lain yang berpotensi di benua Afrika seperti Nigeria, Asia Tengah dan sebagainya.

“Di samping itu, bagi mengukuhkan lagi komitmen kerajaan, tiada lagi pengambilan baharu pekerja asing akan dilaksanakan pada masa ini. Oleh yang demikian, isu buruh paksa yang dibangkitkan dan dilaporkan oleh DOL merupakan isu lama dan pun diambil tindakan oleh pihak industri.

“KPPK dengan kerjasama kementerian dan agensi berkaitan sentiasa memberi perhatian mengenai pembangunan industri sawit negara dan mengambil berat kebajikan pekerja di sektor agrikomoditi demi menjamin kemakmuran sejagat dan kemaslahatan bersama,” katanya. -Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.