Kali ini, Anwar gagal sama sekali

15,522

22 OKT: Gencatan politik yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi membuktikan hasrat dan cita-cita Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri harus diketepikan oleh semua pihak.

Penganalisis politik, Profesor Madya Dr Kartini Aboo Talib berkata tindakan ini juga membuktikan kenyataan Ketua Pembangkang itu gagal sama sekali walaupun sebelum ini ramai yang mempertikaikan bahawa beliau hanya membawa jumlah Ahli Parlimen yang menyokongnya dan bukanlah senarai nama.

“Cita-cita Anwar ini sukar untuk terlaksana kerana ini bukti beliau sekali lagi gagal menyenaraikan senarai sokongan majoriti Ahli Parlimen yang menyokongnya.

“Bila tiada lagi peluang dalam keadaan ini, Anwar perlu diketepikan kerana sudah tiada ruang malahan orang mula meragui dan jelak dengan politik yang tamak kuasa. Tak habis-habis mahu jadi Perdana Menteri.

“Rakyat mahu amanat politik ini dikembalikan untuk memikirkan kepentingan rakyat dahulu dan bukan kuasa di kalangan elit dan ahli-ahli politik,” katanya ketika dihubungi PN BBC Portal, hari ini.

KARTINI ABOO TALIB
KARTINI ABOO TALIB

Semalam, UMNO mengambil pendirian mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara mendepani pandemik COVID-19 serta kegawatan ekonomi.

Ahmad Zahid berkata, untuk itu, UMNO melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan dan kegelisahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.

UMNO turut mengarahkan semua kepimpinan parti yang berada dalam Kabinet ketika ini memberikan sepenuh tumpuan kepada usaha untuk membantu rakyat dan meringankan beban yang ditanggung mereka akibat dampak ekonomi dan pandemik COVID-19.

Kartini yang merupakan Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberitahu, perbalahan pertikaian politik dan perebutan kuasa antara kerajaan dan pembangkang harus dihentikan

Malah, tambah beliau, setiap pemimpin dan ahli politik harus bekerjsama memfokuskan penyelesaian masalah dan ancaman COVID-19 yang seharusnya menjadi keutamaan mereka disebabkan membawa kegawatan ekonomi kepada negara.

“Kena berhenti berbalah kerana negara berdepan dengan ancaman paling besar iaitu COVID-19. Perkara ini perlu diuruskan dahulu. Segala benda berkenaan pertelingkahan kuasa harus ditanggunhkan dan bukan masa yang sesuai.

“Mereka perlu kumpul tenaga dan lakukan inisatif secara bersama untuk memutuskan rantian COVID-19 dan bekerjasama mengembeling tenaga buat pembangunan ekonomi. Kita semua faham impak besar yang dihadapi negara adalah ekonomi yang menyebabkan ramai pekerja menggangur dan pelbagai masalah dari aspek kesihatan, pendidikan disebabkan norma baharu ini.

“Ini yang perlu diatasi. Banyak perkara Yang Berhormat perlu duduk bersama dan boleh fikirkan untuk bantu kerajaan demi keselamatan negara. Ini yang perlu dilakukan dahulu bukan kuasa yang menjadi keutamaan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.