Jangan tuding jari cari salah siapa

77

22 OKT: Gencatan politik yang diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dlilihat mencerminkan komitmen ahli politik mahu menunjukkan kesepakatan dalam usaha menangani pandemik COVID-19.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said dalam tindakan itu merupakan langkah terbaik kerana ketika ini tidak perlu dipolitikkan semua isu yang timbul sebaliknya harus bersama-sama mengutamakan kesihatan dan keselamatan rakyat.

“Tidak perlu lagi menuding jari mencari salah siapa. Tidak perlu lagi berebut kuasa.

“Isu-isu penting seperti kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan rakyat perlu diletakkan di atas sekali. Begitu juga dengan keselamatan negara, dan hala tuju ekonomi kita.

“Langkah gencatan politik yang diumumkan mencerminkan semangat ini. Gencatan ini bukan bermaksud mengalah atau kalah, tetapi meletakkan kepentingan diri di belakang kepentingan rakyat dan negara,” katanya menerusi kenyataan dalam laman blog beliau, hari ini.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu memberitahu, dalam situasi sekarang, ahli politik dan parti perlu bekerja sebagai satu pasukan dengan mengenepikan perjuangan politik masing-masing.

“Ketepikan prejudis. Masing-masing ada pendapat, ada kepakaran. Bentuklah satu pasukan yang dapat berkhidmat untuk rakyat. Ini dikira juga sebagai normal baharu.

“Kita sering laungkan betapa perjuangan kita adalah demi negara dan rakyat, namun apabila kepentingan negara dan rakyat patut diambil kira, kita berbalah dan saling tuduh menuduh pula.

“Rakyat yang berada di bawah, hanya memerhatikan gelagat mereka yang di atas, dan rakyat tidak berhenti menggeleng kepala mereka,” katanya.

Sementara itu, Salleh turut mengulangi pendirian menyatakan betapa ahli-ahli politik sangat tidak digemari oleh rakyat ketika ini.

“Rata-rata rakyat menyalahkan ahli-ahli politik dan politik itu sendiri dalam penularan gelombang baharu COVID-19 yang hampir mencecah 1,000 kes setiap hari.

“Tindakan ahli politik yang bermain politik 24 jam ketika kita dalam krisis yang besar ini adalah sangat dikesali.

“Pemimpin-pemimpin negara kini menghadapi satu ujian yang besar dan rakyat sedang berhadapan dengan masa hadapan yang kian pudar,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.