Akta Langkah Sementara COVID-19 berkuat kuasa esok

349

22 OKT: Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 akan diwarta dan dikuatkuasakan esok.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, akta yang diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara masing-masing pada 25 Ogos dan 22 September itu diwartakan setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaras dengan Perkara 66 Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, akta itu akan berkuat kuasa selama dua tahun dari tarikh penyiaran pada 23 Oktober dalam Warta Kerajaan, atau sebagaimana tarikh dan tempoh kuat kuasa yang telah diperuntukkan di mana-mana Bahagian yang berkaitan dalam akta ini.

“Pelaksanaan ini secara keseluruhannya dapat memberi manfaat kepada setiap individu dan syarikat yang terkesan dari aspek ekonomi akibat penularan COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Takiyuddin berkata pihak-pihak berkontrak yang bertikai boleh menyelesaikan pertikaian secara baik tanpa melibatkan proses perbicaraan undang-undang di mahkamah melalui perkhidmatan pengantaraan Pusat Mediasi COVID-19 (PMC-19) yang ditubuhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata perkhidmatan pengantaraan yang akan dijalankan melalui PMC-19 adalah terbuka kepada semua pihak dengan nilai pertikaian RM300,000 ke bawah.

“Kerajaan juga akan membiayai kos perkhidmatan pengantaraan kepada golongan B40 dan M40 serta perusahaan bersaiz mikro dan kecil.

“Sebarang pertanyaan berkaitan perkhidmatan itu boleh diajukan melalui [email protected],” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.