847 kes baru, 137 di Selangor

485

22 OKT: Kes baru COVID-19 hari ini kembali melepasi angka 800 dengan Sabah dan negeri-negeri di Lembah Klang terus mencatatkan kes harian tertinggi.

Keseluruhannya sebanyak 847 kes baru dilaporkan di seluruh negara dengan Sabah mencatatkan 578 penularan diikuti negeri-negeri di Lembah Klang dengan 164.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 578 kes yang dilaporkan di Sabah, 223 daripadanya daripada kluster-kluster sedia ada dua kluster baru.

Katanya, di Selangor pula yang mencatatkan 137 penularan hari ini, 59 adalah dari kluster-kluster termasuk satu kluster baru iaitu kluster Jambu dan 55 dari saringan kontak rapat.

“Di Negeri Sembilan 38 kes dikesan termasuk 33 dari kluster baru iaitu kluster Sofi diikuti Labuan dengan 29 kes dan Kuala Lumpur, 23 kes yang turut melaporkan satu kluster baru.

“Perak pula melaporkan 14 kes baru, Pulau Pinang (10), Putrajaya (empat), Kedah (tiga), Melaka (tiga), Kelantan (tiga), Pahang (dua) manakala Terengganu, Johor dan Sarawak masing-masing melaporkan satu kes,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut beliau, sehingga kini terdapat 90 individu disahkan positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 29 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.

Katanya, dukacita dimaklumkan kes kematian akibat virus ini bertambah menjadi 204 kes apabila lima lagi kematian dilaporkan hari ini.

“Daripada lima kes kematian ini, terdapat satu kes dilaporkan di Alor Setar manakala empat lagi di Sabah iaitu di Kota Kinabalu, Tuaran dan dua di Sandakan,” katanya.

Sementara itu, katanya, terdapat lima kes import yang dilaporkan hari ini dengan kesemuanya di Selangor melibatkan jangkitan dari beberapa negara.

“Keseluruhan hari ini, sebanyak 486 kes sembuh telah dilaporkan dan ini ini menjadikan kes positif dengan kebolehjangkitan COVID-19 yang sedang dirawat berjumlah 8,183 kes.

“Jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 yang dilaporkan di negara ini pulka berjumlah 23,804 kes,” ujarnya. – Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.