UMNO umum gencatan politik, fokus bantu rakyat berdepan COVID-19

329

21 OKT: UMNO mengambil pendirian mendukung Kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam memfokuskan agenda membantu rakyat dan negara mendepani pandemik COVID-19 serta kegawatan ekonomi.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, untuk itu, UMNO melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat yang sedang dihimpit kesusahan dan kegelisahan akibat hambatan ekonomi dapat ditangani dan diutamakan.

Justeru, katanya, UMNO mengarahkan semua kepimpinan parti yang berada dalam Kabinet ketika ini memberikan sepenuh tumpuan kepada usaha untuk membantu rakyat dan meringankan beban yang ditanggung mereka akibat dampak ekonomi dan pandemik COVID-19.

“Kerjasama semua parti dalam Kerajaan PN harus diperkasakan bagi menjamin kestabilan politik di saat negara menghadapi anacaman COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan media sebentar tadi.

Kenyataan media itu bagi mengumumkan beberapa pendirian UMNO berhubung perkembangan politik semasa.

UMNO menerusi Mesyuarat Biro Politik miggu lalu mengumumkan sedang menimbangkan untuk menarik sokongan kepada Kerajaan PN selain akan memberikan syarat baru untuk meneruskan sokongan kepada kerjasama politik itu.

Mesyuarat pada 13 Oktober itu dipengerusikan Ahmad Zahid dan dihadiri Jawatankuasa Pengurusan UMNO serta kesemua Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri kecuali Sabah.

Berdasarkan laporan media sebelum ini, rundingan mengenai syarat baru UMNO itu sedang berjalan antara pimpinan tertinggi negara dan PN dengan pemimpin UMNO. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.