UMNO, PAS Selangor sokong daftar MN

355

21 OKT: UMNO dan PAS Selangor menyokong penuh keputusan pimpinan tertinggi parti itu untuk mendaftarkan Muafakat Nasional (MN) secara rasmi dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya Badan Perhubungan Pas Negeri Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi.

“MN Selangor yang didukung oleh UMNO dan PAS negeri menzahirkan rasa syukur dan mengalu-alukan langkah strategik pimpinan tertinggi kedua-dua parti di peringkat Pusat yang memutuskan untuk mendaftar MN secara rasmi.

“Sesungguhnya inisiatif ini mencerminkan komitmen tinggi kedua-dua parti dalam menobat dan memartabatkan perjuangan membela agama, bangsa dan negara sepertimana yang dimeterai di dalam Piagam MN,” kata mereka.

Mereka juga yakin keputusan ini juga mampu mengukuhkan dan memantapkan lagi kerjasama antara kedua-dua parti tersebut.

“UMNO dan PAS Selangor yakin Selangor mengalu-alukan perkembangan positif ini.

“Kedua-dua parti akan bekerjasama dengan lebih rapat lagi demi mengukuhkan hubungan dan memantapkan jentera dalam memastikan Negeri Selangor dapat diselamatkan oleh MN Negeri dalam PRU ke-15 nanti,” kata mereka.

Sementara itu, Pemuda UMNO dan PAS Selangor juga turut menyokong penuh usaha memperteguh muafakat dan memperkukuhkan perpaduan menerusi pendaftaran MN secara rasmi

Dalam satu kenyataan bersama, Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor, Hanafi Zulkapli dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Selangor, Rizam Ismail memberitahu, tindakan itu merupakan bukti kukuh bahawa muafakat PAS dan UMNO terus berjalan dengan baik yang mampu menutup mulut-mulut jahat pihak yang cuba merobek muafakat permuafakatan ini.

“Keseriusan dalam mendaftarkan MN secara rasmi ini hakikatnya membuka harapan kepada seluruh rakyat Malaysia yang kini mencari platform terbaik dalam politik tanah air dalam mempertahankan agama, ummah dan mengembalikan kestabilan politik negara ke arah lebih baik,” jelas mereka.

Justeru itu, kedua-dua mereka berharap agar pimpinan tertinggi parti terus berkhidmat untuk rakyat dan semoga permuafakatan tersebut menjadi titik noktah terhadap perbalahan yang sudah sekian lama.

“Bagi pihak pemuda negeri Selangor dari kedua-dua parti iaitu PAS dan UMNO ialah ini masa terbaik untuk melangkah terus maju ke hadapan menyelamat politik tanah air.

“Dengan menjadikan MN sebagai peneraju muafakat suara ummah dan seluruh rakyat berbilang kaum yang cintakan keamanan dan kesejahteraan berteraskan pasak Rukun Negara dan keluhuran Perlembagaan yang sedia ada,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.