UMNO buat gencatan, PKR tetap teruskan cita-cita politik

911

21 OKT: Walaupun pelbagai pihak resah dengan tindak-tanduk ahli politik yang berterusan mengutamakan perebutan kuasa ketika COVID-19 melanda negara, namun itu tidak menghalang Parti Keadilan Rakyat (PKR) daripada tetap mencari sokongan Ahli Parlimen bagi mengembalikan apa yang didakwa mereka sebagai ‘mandat rakyat’.

Menyedari UMNO mengambil pendirian menggesa gencatan politik bagi memberi fokus usaha membantu rakyat di saat kemuncak COVID-19, PKR dalam satu kenyataan memaklumkan menghormati kenyataan yang telah dibuat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum perkembangan tersebut.

Saifuddin Nasution bersama Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat online bersama Ahli Parlimen PKR baru-baru ini

“Pada masa yang sama, kami akan mengekalkan usaha ke arah mengembalikan mandat rakyat dengan kebersamaan Ahli-Ahli Parlimen yang mendokong cita-cita dan harapan yang sama.

“Iaitu untuk memperbetul hala tuju kepimpinan negara terutama dalam usaha memerangi wabak COVID-19, menyuntik semangat dan membangun semula ekonomi, serta melipat gandakan usaha menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.

Isu politik dan perebutan kuasa kembali mewarnai politik negara apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan lalu mengadakan sidang akhbar memaklumkan mempunyai sokongan untuk menjadi Perdana Menteri.

Presiden PKR itu bagaimanapun ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong tidak pun mempersembahkan nama ahli Parlimen yang menyokong beliau sebaliknya hanya memberikan ‘surat dan dokumen’ bukti sokongan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah beberapa hari lalu pula menasihati semua rakyat khususnya ahli politik untuk bermuhasabah agar negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik tidak menentu.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka memberi ingatan itu kerana negara masih lagi berhadapan dengan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat ancaman pandemik COVID-19.

Al-Sultan Abdullah juga mengulangi titah nasihat kepada ahli-ahli Parlimen supaya mempamerkan kematangan dalam berpolitik dan memahami serta menjiwai keluh-kesah rakyat dan tidak mengabaikan kesejahteraan rakyat, yang dititahkan semasa Istiadat Perasmian Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 pada Mei lepas. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.