Tinggal 41 lagi kawasan belum pulih bekalan

54

21 OKT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesahkan sebanyak 1,251 atau 97 peratus daripada 1,292 kawasan terbabit dengan gangguan bekalan air tidak berjadual sudah pulih sepenuhnya sehingga jam 9 malam ini.

Menurut satu kenyataan Air Selangor, daripada jumlah berkenaan sebanyak 41 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan.

“Dua wilayah sudah mencapai tahap pemulihan 100 peratus iaitu Kuala Lumpur dan Hulu Selangor.

“Bagi wilayah Petaling dan Kuala Selangor pula masing-masing sudah mencecah 99.7 peratus dan 99.6 peratus.

“Sementara itu, wilayah Klang/ Shah Alam kini mencapai 89 peratus, Gombak 93 peratus manakala Kuala Langat sebanyak 88 peratus,” kata syarikat itu dalam kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan itu, Air Selangor juga menggerakkan lori tangki air untuk menghantar bekalan air ke kawasan yang terjejas.

“Air Selangor menghargai bantuan daripada majlis perbandaran tempatan dan operator air negeri lain yang menghantar bantuan lori tangki termasuk 10 unit dari Ranhil SAJ Sdn Bhd.

“Masing-masing dua buah dari Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Lembaga Air Perak (LAP), Majlis Perbandaran Klang (MPK) serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) serta masing-masing satu unit daripada Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dan Syarikat Air Terengganu (SATU),” kata kenyataan itu.

Air Selangor meminta pengguna agar membiarkan air paip mengalir sehingga jernih sebelum digunakan.

“Air Selangor berharap pengguna menggunakan bekalan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan di kawasan terjejas berjalan lancar seperti dijadualkan.

“Bantuan bekalan alternatif di pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) masih lagi disediakan untuk kemudahan pengguna yang terbabit dengan gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Air Selangor akan memaklumkan status pemulihan bekalan air dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi rasmi kami iaitu aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook dan Instagram Air Selangor dan laman sesawang www.airselangor.com,” katanya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.