SPRM patut siasat kos dron RM2 juta

95

21 OKT: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjalankan siasatan teliti terhadap pembelian empat unit dron oleh kerajaan negeri Selangor.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah mempersoalkan kos RM2 juta untuk empat unit dron tersebut yang dianggap tidak munasabah.

“Rakyat mengharapkan Menteri Besarnya selesaikan masalah air, tetapi dia sibuk beli dron sampai tiga empat biji (unit) ni apa hal? Aduyai, sampai RM2 juta beli untuk buat kajian

“Kejap kata paip bocor dan pencemaran kilang haram. DAP kata tiada kilang haram. Rakyat juga yang menjadi mangsanya.

“Memang nak buat perancangan dan kita akui perancangan itu bagus, tapi beli dron sampai harga RM2 juta, ini satu pembaziran dalam keadaan rakyat berdepan dengan pandemik COVID-19 dan masalah air,” katanya melalui Instagram, hari ini.

ARMAND AZHA ABU HANIFAH

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Hal Ehwal Orang Asli dan Hal Ehwal Selain Islam, Hee Loy Sian menyatakan kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi pembelian empat unit dron yang akan diuruskan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melalui Skuad Pantas LUAS.

Dron itu akan digunakan untuk memantau Lembangan Sungai Klang, Sungai Selangor dan Sungai Langat, selain berkeupayaan mengambil sampel air termasuk di kawasan terpencil dengan lebih tepat.

Dalam pada itu, Armand Azha hairan dan pelik dengan tindakan kerajaan Selangor baharu hendak laksanakan kajian walhal telah banyak kali berlaku gangguan bekalan air.

Beliau berkata, seharusnya kajian perlu dimulakan dari tahun 2008 iaitu permulaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih Selangor.

“Kajian ini patut dibuat kira-kira 12 tahun lalu, bukan baharu sekarang fikir nak beli dron nak buat kajian. Sekarang ini Menteri Besar, tolonglah selesaikan masalah air di Selangor ini.

“Janganlah buat perkara-perkara mengarut. Sekejap kata paip pecah kerana kilang haram, tetapi DAP menafikan ada kilang haram. Mana satu betulnya? Ada kilang (haram) atau tak ada kilang? Kalau ada kilang haram kenapa sepanjang 12 tahun tidak ambil tindakan, tidak saman, tidak tutup?.

“Tidak logik sebarang permasalahan yang berlaku itu perlu difikirkan oleh orang lain, sepatutnya Menteri Besar dan kumpulan pentadbirannyalah yang mencari jalan penyelesaian,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.