Sektor tak rasmi, pengangkutan kerja seperti biasa

113

21 OKT: Pekerja-pekerja dalam sektor selain perkhidmatan awam dan industri masih dibenarkan bekerja seperti biasa di zon Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu merangkumi sektor tidak rasmi seperti sektor peruncitan, makanan, perladangan, pertanian, penjaja, gerai-gerai makan, restoran, medan selera, kedai runcit dan kedai serbaneka.

Menurut beliau, pekerja bagi perkhidmatan pengangkutan seperti pengangkutan awam, bas ekspres, LRT, teksi, e-hailing dan khidmat penghantaran makanan (delivery service) juga boleh bekerja seperti biasa.

“Majikan perlu mengeluarkan surat perlepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh PKPB ini.

“Pelaksanaan arahan ini adalah sama seperti yang pernah dikuatkuasakan ketika pelaksanaan PKPB di seluruh negara pada Mei 2020,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Semalam, beliau mengumumkan arahan bekerja dari rumah yang melibatkan kira-kira sejuta pekerja dalam sektor awam dan industri di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Labuan serta Sabah yang menjalani PKPB.

Pada masa yang sama, Ismail Sabri meminta pekerja-pekerja terbabit mematuhi prosedur operasi standard PKPB.

Beliau menambah, penjawat awam boleh merujuk kepada pekeling Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam manakala pekerja industri mendapatkan maklumat daripada laman sesawang Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berhubung arahan bekerja dari rumah yang mula berkuat kuasa esok.

Ismail Sabri turut mengingatkan bahawa ujian swab adalah diwajibkan bagi pekerja-pekerja warga asing yang bekerja di sektor pembinaan dan pengawal keselamatan.

“Turut diwajibkan untuk menjalani ujian swab adalah bagi mereka yang bergejala.

“Bagi pekerja dari zon merah yang perlu bekerja di pejabat, mereka juga amat disarankan untuk menjalani ujian swab,” jelasnya.

Beliau memberitahu, hal ini untuk memastikan pengesanan awal jangkitan COVID-19 bagi mengelakkan wujudnya kluster baharu di tempat kerja. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.