Polis siasat fitnah terhadap Ab Rauf

158

21 OKT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka kertas siasatan berhubung penyebaran berita berunsur fitnah membabitkan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, polis sudah merakam keterangan beberapa saksi berhubung kes penyebaran fitnah terhadap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang didakwa merogol seorang wanita di sebuah hotel di Melaka baru-baru ini.

“Kita telah buka kertas siasatan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan iaitu fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kita sudah merakam kenyataan beberapa saksi dan orang yang didakwa dan polis merampas kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian untuk siasatan lanjut,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Mengulas lanjut, Huzir berkata pihaknya sedang mengesan alamat protokol internet pemilik laman Facebook yang membuat hantaran berbaur fitnah terhadap Ab Rauf dengan bantuan SKMM.

Sebelum ini seorang wanita dikenali sebagai Balqis, tampil menafikan berita palsu kononnya Ab Rauf, cuba merogolnya di sebuah hotel di Ayer Keroh, Melaka, pada 2 Oktober lalu.

Berikutan itu mangsa yang dikenali sebagai Balqis membuat laporan di Balai Polis Ayer Keroh Melaka pada jam 10.55 pagi, 19 Oktober lalu bagi menafikan dakwaan berkenaan.

Mangsa menjelaskan dia membuat laporan polis selepas dimaklumkan pengurusnya bahawa terdapat satu berita palsu tersebar dalam media sosial yang mendakwa Ab Rauf cuba merogolnya ketika mengiringi bilik ke bilik hotel ditempahnya, pada 2 Oktober lalu.

Berikutan itu, mangsa menafikan dakwaan palsu yang disebarkan oleh pemilik akaun Facebook dikenali sebagai Kamaruddin bin Lajid dan aplikasi WhatsApp berhubung perkara itu. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.