Pindaan Akta Pengangkutan Jalan berkua kuasa Jumaat

127

21 OKT: Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang mengenakan hukuman lebih berat terhadap pesalah jalan raya termasuk bagi mengekang pemanduan di bawah pengaruh alkohol akan mula dikuat kuasa Jumaat ini.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pindaan itu diyakini dapat memberikan kesedaran kepada orang ramai terhadap pematuhan undang-undang, selain memupuk pengguna jalan raya yang berhemah sekali gus memastikan jalan raya di negara ini kekal selamat.

“Sejak saya mengangkat sumpah sebagai Menteri Pengangkutan, isu keselamatan jalan raya antara perkara diutamakan daripada segi penggubalan dasar dan penguatkuasaan oleh kementerian, termasuk mengenai pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Oleh itu, saya mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya segera memuktamadkan draf pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 pada 4 Mei lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Akta sedia ada memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun dan denda antara RM8,000 hingga RM20,000 jika disabitkan kesalahan.

Melalui pindaan, kadar denda yang dikenakan lebih tinggi sehingga RM150,000 dan tempoh penjara hingga 20 tahun serta penggantungan lesen memandu.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, RUU terbabit diwartakan sejurus mendapat kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara selain perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk dijadikan sebahagian daripada undang-undang.

“Ia seperti mana yang dimaklumkan menerusi kenyataan saya, pada Sabtu lalu. Selepas RUU Pengangkutan Jalan (pindaan) 2020 diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 26 Ogos lalu, Dewan Negara (22 September lalu) dan perkenan Yang di-Pertuan Agong (16 Oktober 2020), Kementerian Pengangkutan melakukan proses untuk mewartakannya.

“Semalam, kementerian menerima instrumen Penetapan Tarikh Permulaan Kuat Kuasa Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 daripada Jabatan Peguam Negara dan hari ini, giliran saya pula menandatanganinya sebagai Menteri Pengangkutan,” katanya.

Pada masa sama, Ka Siong berkata, beliau mengadakan pertemuan bersama pihak lain yang berkepentingan termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ketua masyarakat.

“Berdasarkan soal selidik daripada 345,000 orang, sebanyak 94 peratus mahu pemandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah dikenakan hukuman yang lebih berat,” katanya.

Sepanjang Mei hingga Jun lalu, katanya, pihaknya berbincang dengan Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT); Dewan Pemuda PAS; Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye dan bekas Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon.

“Pihak lain termasuk Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (MCCBCHST). Saya kemudian kemukakan RUU Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 ini serta diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 17 Julai dan pada 27 Julai lalu.

“Ia dibaca kali pertama di Dewan Rakyat. Selain itu, Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 ini turut mengambil kira pandangan masyarakat menerusi soal selidik yang dijalankan oleh kementerian melalui Bahagian Logistik dan Pengangkutan Darat (BLPD),” ujarnya.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.