Pencarum Perkeso tak perlu bayar saringan COVID-19

159

20 OKT: Kementerian Sumber Manusia akan memperluaskan lagi Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) kepada semua pencarumnya yang terlibat di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menterinya, Datuk Seri M Saravanan berkata, PSP akan merangkumi negeri Sabah, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan berkuat kuasa mulai esok.

Menurut beliau, majikan boleh menjalankan saringan COVID-19 untuk pekerja secara percuma melalui panel perkhidmatan yang dilantik oleh Perkeso.

“Mereka perlu mengemukakan maklumat yang lengkap kepada panel perkhidmatan. Senarai Panel Perkhidmatan Perkeso boleh diperolehi dalam Direktori Panel Perkhidmatan yang dipaparkan di portal https://psp.perkeso.gov.my.

“Proses saringan boleh dilakukan di klinik/makmal ataupun dijalankan di premis pekerjaan. Hanya saringan melalui panel perkhidmatan ditanggung sepenuhnya oleh Perkeso,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Saravanan memberitahu, saringan COVID-19 juga boleh dijalankan melalui kaedah Subsidi Saringan Prihatin namun kosnya hendaklah dibayar oleh majikan terlebih dahulu.

Menurut beliau, majikan boleh mengemukakan permohonan untuk Subsidi Saringan COVID-19 melalui portal https://psp.perkeso.gov.my dengan menyertakan resit bayaran.

“Perkeso akan membuat bayaran balik subsidi sehingga RM150.00 bagi setiap pekerja yang telah menjalani saringan COVID-19. Kedua-dua kemudahan tersebut terhad untuk dijalankan melalui majikan sahaja.

“Peluasan capaian PSP Perkeso ini terbuka kepada pekerja asing dan tempatan dalam semua sektor dan industri. Pencarum yang pernah menjalani saringan PSP sebelum ini boleh menjalani saringan semula selaras dengan pengumuman yang telah dibuat,” katanya.

Sementara itu, Saravanan mengingatkan agar semua majikan dan pekerja mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sewaktu menjalani ujian saringan COVID-19 agar proses berjalan dengan selamat dan tidak terdedah kepada risiko jangkitan.

“Sebarang pertanyaan lanjut boleh diemelkan ke [email protected] ATAU menghubungi 1-300-22-8000 ATAU 03-4264 5089. Pihak Kementerian Sumber Manusia berharap kemudahan yang disediakan oleh Perkeso akan dapat membantu usaha memutuskan rantaian penularan COVID-19 di negara ini.

“Maklumat lanjut tentang program ini boleh diperolehi melalui soalan-soalan lazim (FAQ) bagi peluasan PSP Perkeso yang akan dimuatnaik ke laman sesawang dan media sosial rasmi Perkeso, www.perkeso.gov.my,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.