Lapan kluster baru, empat di Lembah Klang

318

21 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan lapan kluster baharu hari ini termasuk empat daripadanya dilaporkan di Lembah Klang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu tiga adalah di Selangor iaitu Kluster Long, Cahaya dan Bah Kota manakala di Kuala Lumpur ialah Kluster Melati.

Katanya, Sabah yang mencatatkan kes tertinggi COVID-19 kebelakangan ini melaporkan tiga lagi kluster iaitu Basung dan Inai di Kudai serta yang ketiga, Tempayan di Kota Kinabalu.

“Turut melaporkan kluster baru hari ini ialah di Labuan iaitu Kluster Bina. Kes indeks bagi kluster ini telah dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan kemasukan hospital pada 21 Oktober 2020.

“Beliau meninggal dunia pada hari yang sama di Hospital Labuan. Saringan kontak rapat telah mengenal pasti empat lagi kes positif COVID-19,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Noor Hisham, Kluster Cahaya dan Bah Kota turut mengesan individu positif di Tampin dan Seremban manakala Kluster Long pula turut melibatkan kes positif di Kuala Lumpur.

Katanya, pada hari ini juga, sebanyak 30 kes bersamaan 4.1 peratus adalah daripada Kluster Penjara Seberang Perai, Kluster Penjara Kepayan, Kluster Tembok dan Penjara Reman.

“Secara keseluruhan, terdapat 93 kluster aktif setakat ini dengan 28 daripadanya melaporkan pertambahan kes hari ini.

“Saringan terbesar untuk kluster ialah Benteng LD dengan 16,513 dan 1,085 didapati positif termasuk lapan lagi hari ini,” jelasnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.