Ketepi perbezaan, kita dahulukan rakyat

113

21 OKT: UMNO menyambut baik pendirian pimpinan tertinggi parti untuk melakukan gencatan politik bagi memastikan agenda menangani COVID-19 dan membantu rakyat dapat diutamakan.

Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, keputusan pucuk pimpinan parti ini adalah tepat pada masanya kerana rakyat bukan sahaja dibelenggu dengan peningkatan mendadak kes COVID-19 tetapi juga ketidaktentuan ekonomi semasa.

“Sebagai tulang belakang parti, Wanita UMNO akan membantu sedaya mungkin bagi memastikan hasrat parti yang mahukan kita semua mendahulukan rakyat terlaksana.

“Maka, inilah masanya kita lebarkan langkah, aturkan strategi, gunakan segala apa yang kita ada untuk membantu meringankan beban rakyat,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Noraini, di kala ini perbezaan politik harus diketepikan kerana keperluan rakyat perlu diutamakan.

“Kita ketepikan perbezaan politik, dahulukan rakyat dan sama-sama membantu menenangkan kegelisahan di hati rakyat di atas ketidaktentuan ekonomi negara,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, keputusan UMNO melaksanakan gencatan politik adalah bagi meminimumkan mainan politik kepartian yang tidak disukai rakyat.

Langkah itu juga, katanya, secara tidak langsung memastikan agenda menangani cabaran ekonomi dan kesihatan diberi tumpuan sewajarnya.

“Gencatan politik. Bermaksud meminimumkan mainan politik kepartian yang tidak disukai rakyat sebaliknya menumpu kepada agenda rakyat khususnya menangani cabaran ekonomi dan kesihatan.

“Mendukung kerajaan hari ini bermaksud tidak timbul lagi sebarang khabar memaksa pilihan raya umum awal dengan keadaan penularan COVID-19 dan kesan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahril Sufian berkata, kenyataan UMNO yang merujuk kepada perkukuh kerjasama antara parti demi kestabilan pula memerlukan keikhlasan dan sebarang rundingan, dilaksanakan oleh mereka yang diberi amanah di belakang tabir.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.