Fitnah Vellfire: MB Kedah saman Mahfuz, Ismail

3,563

21 OKT: Dua pemimpin Pakatan Harapan (PH) serta dua individu lain akan disaman oleh Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor kerana didakwa memfitnah kononnya kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire yang dibeli oleh Syarikat Air Darul Aman adalah untuk kegunaannya.

Memetik laporan BH Online, antara yang bakal disaman oleh Muhammad Sanusi ialah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor, Dr Ismail Salleh.

Beliau berkata, kenderaan berkenaan dibeli oleh Jawatankuasa Perolehan Aset SADA secara dalaman dan dilakukan mengikut had perbelanjaan ditetapkan.

sanusi
SANUSI MD NOR

“Pihak terbabit sepatutnya meminta penjelasan terlebih dahulu, saya sudah melihat tulisan dan siaran langsung media sosial mereka dan peguam saya akan memfailkan kes mahkamah minggu hadapan.

“Saya difahamkan pembelian kenderaan terbabit dilakukan bagi kegunaan bersama ahli lembaga pengarah dan pegawai kanan SADA,” katanya dalam sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Setar, hari ini.

Semalam, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah melakukan kunjungan ke Ibu Pejabat SADA bagi meneliti dokumen pembelian kenderaan terbabit dan berjumpa pengurusan syarikat utiliti berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi SADA menambah, Toyota Vellfire yang baru dibeli itu kini berada di Ibu Pejabat SADA selain syarikat utiliti berkenaan juga membeli pelbagai aset seperti lori tangki dan pam air bagi kegunaan operasi.

“Melalui penulisan terbabit, saya dituduh mengambil Toyota Vellfire ini di tol pada jam 2.30 pagi sedangkan saya tidak pernah melihat dan menaikinya sehingga kini.

“Saya hanya menggunakan dua kenderaan rasmi iaitu Volvo S90 dan Mercedez S320 yang dibeli bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini,” katanya.

Kenderaan mewah terbabit dikatakan dibeli oleh SADA pada harga RM345,000 dan memiliki spesifikasi tertinggi.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.