Benarkan media jalankan tugas – NUJM

46

MERUJUK kepada kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung arahan semua pekerja sama ada di sektor awam dan swasta perlu bekerja dari rumah berkuat kuasa Khamis, 22 Oktober ini, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) menyeru kepada pihak berkuasa untuk membenarkan petugas-petugas media menjalankan tugas mereka tanpa ditahan dan dihalang dalam mana-mana sekatan jalan raya.

Kebanyakan petugas media perlu membuat liputan di pelbagai kawasan termasuk tempat berisiko, sehubungan itu, NUJM memohon kerjasama diberikan kepada petugas media yang mempunyai surat kebenaran bertugas daripada syarikat masing-masing.

Bagi petugas media yang berada di Zon Merah atau kawasan berisiko tinggi diminta untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 bagi memastikan keselamatan diri dan membolehkan pihak berkuasa memberi kebenaran untuk membuat liputan.

NUJM juga ingin mengingatkan semua petugas media supaya sentiasa berhati-hati ketika menjalankan tugas dan mematuhi segala amalan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Mana-mana petugas media yang mempunyai gejala COVID-19 dinasihatkan untuk segera melakukan ujian saringan di hospital dan mematuhi arahan kuarantin wajib.

#kitajagakita

Bagi Pihak Ahli Jawatankuasa NUJ,

FARAH MARSHITA ABDUL PATAH
Presiden

Get real time updates directly on you device, subscribe now.