Addy Kanna tak akan terlepas – PDRM

476

21 OKT: Polis tidak akan melepaskan mana-mana individu yang menjadi suspek kes sindiket Addy Kanna berkaitan penipuan Macau Scam, perjudian dalam talian dan pelaburan mata wang asing atau Forex yang ditahan baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, tiga suspek kes berkenaan termasuk lelaki dikenali sebagai Addy Kanna kini ditahan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) manakala seorang suspek dikenali sebagai Goh Leong [email protected] sedang dikesan polis.

“Saya ingin menegaskan hasil siasatan ke atas kes Addy Kanna ini kita berjaya membongkar aktiviti penipuan (scam), perjudian secara online, serta penipuan pelaburan Forex.

“Jadi apa yang dilaporkan akhbar semalam ada sedikit kekeliruan dan kita akan pastikan semua ahli sindiket ini akan terus ditahan.

“Kita akan jalankan siasatan lanjut terhadap sindiket Addy Kanna secara telus, teliti dan menyeluruh kerana ia membabitkan aktiviti promosi perjudian online, Macau Scam dan penipuan Forex.

“Justeru PDRM tidak akan membebaskan sewenang-wenangnya akan membebaskan kesemua suspek dan ahli sindiket berkenaan,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, sebentar tadi.

Berikutan itu Huzir berkata polis akan memohon kepada mahkamah untuk menyambung tempoh reman mengikut Seksyen 4(2)(a) Akta Pencegahan Jenayah ke atas tiga suspek terbabit selama 38 lagi selepas tempoh tahanan sedia ada selama 21 hari tamat nanti.

Beliau berkata ini menunjukkan PDRM serius dalam menangani kes sindiket Macau Scam, perjudian online dan penipuan Forex berkenaan.

Mengulas lanjut, Huzir berkata hasil siasatan lanjut polis menahan 138 individu dan menyerbu 12 pusat panggilan dalam tempoh empat hari lalu hasil siasatan kes sindiket perjudian online, Macau Scam dan penipuan pelaburan Forex membabitkan Addy Kana dan Alvin, awal bulan ini.

Katanya, penahanan itu membabitkan 95 warga China serta 43 warga tempatan.

Berdasarkan siasatan awal polis, Huzir berkata, kebanyakan pusat panggilan diserbu menyasarkan mangsa di China dan bukannya warga tempatan seperti digembar-gemburkan sebelum ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu seramai 55 orang direman mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953 manakala 85 individu diambil tindakan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

“Daripada 12 serbuan dijalankan, ada sebuah premis di Cheras didapati terbabit dengan kegiatan mempromosikan pelacuran di WeChat, QQApp dan Weibo. Selain itu, kami menahan seorang warga tempatan di sekitar Lembah Klang, semalam yang disyaki mempunyai kaitan dengan suspek yang melarikan diri.

“Kami akan menyiasat jika wujud pembabitan ahli politik dalam kegiatan ini, namun setakat ini kami tidak mengesan elemen berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Huzir berkata, pihaknya menyerbu pejabat Alvin di Plaza Low Yat di ibu negara dan tidak menolak kemungkinan Alvin di plaza terbabit menjadi faktor dia mendapat ‘tawaran’ daripada sindiket di China.

Beliau berkata siasatan polis juga mendapati Addy Kanna dan Alvin adalah koordinator atau ejen untuk menyediakan kemudahan kediaman, pusat panggilan dilengkapi peralatan komputer dan telekomunikasi serta kemudahan internet kepada warga China yang diupah oleh sindiket penipuan antarabangsa didalangi oleh rakyat China.

Menurutnya, siasatan juga mendapati Addy Kanna mempunyai rekod jenayah lampau dan pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat kerana menyamun.

Huzir berkata, pusat panggilan yang beroperasi dari unit kediaman mewah dan pejabat ini akan menjalankan operasi harian dengan mensasarkan rakyat di negara China sebagai mangsa aktiviti perjudian, penipuan pelaburan Forex dan penipuan pembelian barang, terbabit kes, tuntutan barang seperti Scam.

Beliau berkata, adalah tidak tepat apabila ada pihak tertentu yang menyatakan kegiatan penipuan dalam talian yang berlaku di negara ini dengan dua individu terbabit kerana kegiatan penipuan dalam negara dilakukan oleh sindiket penipuan lain.

“Malah, dakwaan perbualan telefon yang tular menyatakan Addy akan dibebaskan juga tidak tepat apabila dia kini sedang ditahan mengikut POCA bersama dua lagi individu selain usaha mengesan Alvin masih giat dijalankan,” katanya.

Huzir berkata, beliau akan mendedahkan butiran kegiatan penipuan oleh Alvin dan Addy Kanna ini dalam masa terdekat bagi mengelak salah faham dalam kalangan rakyat tempatan. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.