Subang Jaya diisytihar bandar raya

169

20 OKT: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengisytiharkan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) sebagai Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berkuat kuasa hari ini.

Titah baginda, mulai hari ini, Subang Jaya hendaklah menjadi sebuah bandar raya buat selama-lamanya.

“Oleh yang demikian, gelaran Yang Dipertua MPSJ hendaklah ditafsirkan sebagai Datuk Bandar MBSJ.

“Manakala Ahli-ahli Majlis MPSJ hendaklah ditafsirkan sebagai Ahli-ahli Majlis MBSJ,” titah baginda dalam teks pengisytiharan yang dikeluarkan oleh Istana Alam Shah, Klang, hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, perancangan awal telah menetapkan supaya Majlis Pengisytiharan MBSJ diadakan di Dewan Jubli Perak Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Menurut beliau, memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat sedang berkuat kuasa di seluruh Selangor, Sultan Selangor telah berkenan agar pengisytiharan MBSJ itu diadakan melalui media massa atau secara maya.

“Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Datuk Bandar MPSJ akan diadakan di Istana Bukit Kayangan pada tarikh yang sesuai dan akan ditetapkan kemudian,” katanya dalam kenyataan media.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari merafak sembah takzim dan menjunjung kasih Sultan Selangor atas perkenan yang telah diberikan.

“Seyogia dengan perkenan oleh DYMM Sultan Selangor jua, menurut kuasa-kuasa yang diperuntukkan melalui Subseksyen 10(1) Akta Kerajaan Tempatan 1976, sukacita saya memaklumkan bahawa TPr. Hajah Noraini Roslan adalah dilantik selaku Datuk Bandar Subang Jaya berkuat kuasa tarikh yang sama.

“Semoga dengan pemasyhuran MBSJ ini, pembangunan mapan Subang Jaya dan lokaliti sekitarnya akan terus dimantapkan melalui sistem penyampaian perkhidmatan berkelas dunia,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.