Sejuta pekerja di zon PKPB mesti kerja dari rumah

268

20 OKT: Semua pekerja sektor awam dan swasta dalam peringkat pengurusan dan pengawasan di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) diarahkan supaya bekerja dari rumah mulai 22 Oktober ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan turut mengarahkan majikan di sekitar Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Labuan dan Sabah supaya mengeluarkan surat pelepasan bagi membolehkan pekerja-pekerja mereka bekerja dari rumah sehingga PKPB berakhir.

Menurut beliau, arahan itu dikeluarkan berikutan terdapat pekerja dari zon merah yang terpaksa bekerja sekali gus mendedahkan mereka dan pekerja-pekerja lain terhadap risiko jangkitan COVID-19.

Ismail Sabri Yaakob
ISMAIL SABRI YAAKOB

“Jadi, dengan keputusan ni, sejuta pekerja dapat dikurangkan daripada bekerja di pejabat dan sektor industri dan perkilangan.

“Difahamkan, 800,000 pekerja dari sektor industri dari Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Labuan dan Sabah terlibat, penjawat awam adalah seramai 200,000 orang,” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail Sabri menambah, langkah itu juga diambil berikutan aduan orang ramai seolah-olah kurang kawalan kerana mereka terpaksa bekerja di pejabat walaupun di PKPB telah diisytiharkan.

Beliau memberitahu, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperincikan dan mengumumkan jenis-jenis pekerjaan yang terlibat serta prosedur operasi standard dalam masa terdekat.

Bagi pekerja yang perlu bertugas di pejabat seperti di bahagian pengurusan, kewangan, bayaran, penguatkuasaan dan kebajikan, Ismail Sabri menjelaskan, mereka dikehendaki melakukan ujian swab terlebih dahulu.

Menurut beliau, perkara itu telah dipersetujui oleh Kementerian Sumber Manusia dan bagi yang mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), kos ujian swab akan ditanggung oleh agensi tersebut.

“Kita hendak pastikan mereka yang bekerja negatif COVID–19 dan mereka yang positif dibawa ke hospital untuk menerima rawatan,” jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, semua pekerja asing di Lembah Klang, Labuan dan Sabah dikehendaki melakukan ujian swab.

“Bagi pekerja warga asing yang majikan mereka mencarum dengan Perkeso, ujian swab adalah disediakan secara percuma,” katanya. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.