Rakyat mula bosan, meluat percakaran rebut kuasa

145

20 OKT: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, rakyat telah mula bosan dan meluat dengan segala tindak-tanduk ahli politik yang sentiasa dilihat bercakaran dan bertelingkah di dalam merebut kuasa pemerintahan negara.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani berkata, baginda juga berasa dukacita kerana kebanyakan ahli-ahli politik seolah-olah tidak mempedulikan langsung masalah dan kesusahan rakyat yang terkesan akibat gejala wabak COVID-19 dan ditambah pula dengan kedudukan ekonomi rakyat yang amat terjejas.

“Ahli-ahli politik seharusnya bertanggungjawab di dalam memastikan penderitaan rakyat ini sentiasa menjadi keutamaan ketika melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka.

“Kesusahan dan penderitaan rakyat di dalam kehidupan seharian perlu segera ditangani dan diselesaikan dengan mengambil pendekatan yang drastik dan efektif,” kata kenyataan itu.

Menurut Muhamad Munir, Sultan Selangor mengambil maklum dan menyokong penuh kenyataan media yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah pada 16 Oktober 2020 yang lalu.

“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor juga turut sama menzahirkan kebimbangan baginda berhubung kemelut politik Negara yang dilihat tiada berkesudahan sehingga menimbulkan keresahan rakyat di negara ini,” ujar kenyataan itu.

Oleh yang demikian jelas Muhamad Munir, baginda mahukan semua pihak terutama ahli-ahli politik di negara ini, untuk sentiasa bekerjasama tanpa mengira pendirian parti masing-masing.

Katanya, baginda menitahkan mereka sentiasa fokus di dalam membantu rakyat dan negara menangani masalah penyebaran wabak COVID-19 dan membina semula ekonomi negara yang teruk terjejas.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.