PKPD 2 kampung di Labuan

159

20 OKT: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Kampung Saguking Laut dan Kampung Sebor Baru di Labuan mulai esok hingga 3 November ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) membuat keputusan itu berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di Kampung Saguking.

Menurut beliau, jumlah penduduk kampung yang terlibat adalah seramai 8,062 orang.

“Pelaksanaan PKPD ini membolehkan pergerakan keluar masuk di kawasan tersebut dapat dikawal dan memudahkan pelaksanaan ujian saringan COVID-19 dilaksanakan.

“Kawalan keselamatan dan penguatkuasaan akan dilakukan oleh agensi keselamatan iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Imigresen

“Kebajikan penduduk akan diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya dalam sidang media di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, hari ini.

Ismail Sabri menambah, penduduk terlibat perlu menjalani perintah pemantauan di rumah (HSO) dan memakaikan gelang pengawasan kepada kontak rapat dan mereka yang bergejala dan telah diambil sampel.

Beliau menegaskan, pergerakan keluar masuk melibatkan kawasan PKPD tidak dibenarkan kecuali kecemasan dan penduduk yang bekerja juga tidak dibenarkan keluar dari kawasan tersebut.

“Semua aktiviti sosial atau keagamaan dan segala bentuk perhimpunan tidak dibenarkan.

“Aktiviti barter trade yang dilaksanakan di kawasan ini tidak dibenarkan,” katanya.

Walau bagaimanapun, Ismail Sabri berkata sedikit kelonggaran diberikan terhadap aktiviti perniagaan untuk menjana ekonomi seperti kedai runcit dan premis makanan dan dibenarkan beroperasi sehingga pukul 6.00 petang melalui kaedah take-away sahaja.

Sementara itu, beliau memaklumkan, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berrsetuju untuk mewujudkan Makeshift Treatment Centre (MTC) di dalam kawasan Penjara Kebayan, Kota Kinabalu untuk dijadikan pusat rawatan atau tempat pengasingan pesakit yang dijangkiti COVID-19.

“MTC ini adalah mengikut model serupa yang telah dilaksanakan seperti di Penjara Pokok Sena, Kedah, sebelum ini dan persediaan akan dilakukan dalam masa yang terdekat,” katanya.

Ismail Sabri turut mengumumkan, Hospital Medan ATM di Tawau, Sabah telah mula beroperasi dan menerima empat pesakit bukan COVID-19 hari ini. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.