Peraturan mesyuarat, Takiyuddin sekolahkan Maszlee

5,635

20 OKT: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan, hari ini, ‘menyekolahkan’ Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik, kerana mahu menangguhkan urusan kerajaan di Parlimen bagi memberikan laluan kepada undi tidak percaya kepada Perdana Menteri dibawa ke Dewan Rakyat.

Takiyuddin berkata Ahli Parlimen Simpang Renggam berkenaan perlu mengkaji peraturan persidangan Dewan Rakyat terlebih dahulu sebelum mengemukakan usul menangguhkan sementara urusan kerajaan di Parlimen.

takiyuddin hassan

Ini kerana Takiyuddin, berkata peraturan Dewan Rakyat adalah jelas menyatakan urusan kerajaan perlu diutamakan.

“Saya minta dia baca peraturan betul-betul, saya rasa tak betul apa yang beliau kata kerana peraturan memang jelas menyatakan urusan kerajaan perlu diutamakan.

“Dalam undang-undang ada dua perkara iaitu peruntukan am dan khusus, peruntukan am tidak boleh mengatasi peruntukan khas yang memperuntukkan urusan kerajaan perlu diutamakan.

“Untuk menggantung Peraturan Mesyuarat itu adalah peruntukan am, maka eloklah beliau kaji dahulu,” katanya kepada pemberita menghadiri perjumpaan bersama ketua jabatan agensi Persekutuan di Wisma Persekutuan Anak Bukit di Kedah hari ini.

Mengulas lanjut, Takiyuddin diminta mengulas tindakan Maszlee mengemukakan usul supaya Dewan Rakyat menangguhkan urusan kerajaan sementara waktu bagi memberi laluan kepada usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri didengar dan diputuskan.

Sebelum ini media melaporkan mendakwa Maszlee berkata terdapat cara lain usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri boleh diberi laluan untuk diputuskan dengan lebih cepat di Dewan Rakyat.

Maszlee menegaskan caranya ialah dengan mengemukakan usul di bawah Peraturan 90 (2) iaitu meminta Dewan Rakyat menangguhkan segala urusan kerajaan dan memberi laluan kepada usul berkenaan dibaca dan diputuskan terlebih dahulu.

Bagaimanapun, Maszlee mendakwa, Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, sebelum ini telah terkhilaf apabila menyatakan bahawa satu-satunya cara untuk usul itu didahulukan adalah melalui rundingan dengan pihak kerajaan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.