Pendaftaran MN kukuhkan usaha ambil alih Selangor

113

20 OKT: Badan Perhubungan PAS Selangor menyambut baik keputusan kepimpinan tertinggi PAS dan Umno yang telah bersetuju mendaftarkan Muafakat Nasional (MN) secara rasmi dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia.

Setiausaha PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, langkah bijak berkenaan sudah pasti akan memperkukuhkan lagi kerjasama yang sedia terjalin di dalam MN sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke 15 nanti.

Roslan Shahir

Selain itu, Roslan berkata, ia juga diyakini akan disambut baik oleh rakyat jelata khususnya umat Melayu Islam dalam negara.

“Selaras dengan keputusan ini, PAS Selangor memberi jaminan akan mempertingkatkan lagi kerjasama dan hubungan dengan Umno Selangor di setiap peringkat demi menjayakan cita-cita perjuangan MN sehingga mampu mengambil alih kerajaan Negeri Selangor dalam PRU ke 15 nanti dengan izin Allah SWT,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini media melaporkan UMNO dan PAS bersetuju untuk mendaftarkan Muafakat Nasional (MN) secara rasmi dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Perkara itu dinyatakan dalam kenyataan bersama Setiausaha Agung I MN, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung II MN, Datuk Takiyuddin Hassan.

“Kepimpinan MN telah bersepakat secara bersama serta memberi komitmen untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan kerjasama antara parti sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang,” kata mereka.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.