Najib ‘hasut maya’ aksi MB Selangor hidu air

274

20 OKT: Rakyat sudah muak melihat gambar-gambar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menghidu air sedangkan masalah terputus bekalan air di negeri itu terus berulang akibat pencemaran sumber air mentah.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, apa yang rakyat mahukan ialah tindakan Air Selangor dalam memastikan masalah gangguan yang semakin kerap kebelakangan ini tidak lagi membelenggu mereka.

Najib juga turut memberi sindiran pedas yang menyatakan gangguan air di Selangor memberi peluang kepada Amirudin untuk menghidu air sebanyak 18 kali.

“Syukur! Gangguan air di Selangor sebanyak 18 kali sejak bulan Mac sehingga kini memberi peluang kepada MB untuk hidu air 18 kali. CEO Air Selangor selamba sahaja.

“Rakyat tak larat nak tengok lagi gambar-gambar MB hidu air atau dengar alasan “ini mungkin sabotaj” atau kilang mana yang cemarkan sungai.

“Rakyat nak dengar dan tengok rancangan Air Selangor untuk memastikan bekalan air tidak lagi terputus akibat pencemaran air pada masa hadapan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook miliknya, hari ini.

Dalam pada itu, Najib yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan mencadangkan pengurusan Air Selangor agar membina lebih banyak Kolam Takungan Hiliran (ORS) berhampiran loji-loji rawatan air yang boleh digunakan jika berlaku pencemaran air.

Tambahnya, kolam itu boleh digunakan ntuk membekalkan air kepada loji bagi tempoh beberapa hari sahaja ketika air dari sungai tercemar.

“Selepas air sungai tidak tercemar, ORS ini boleh diisikan semula. Jangan tiap-tiap kali sungai tercemar, tiap-tiap kali bekalan air terganggu.

“Melaksanakan dan mempercepatkan projek-projek ORS ini dalam tempoh krisis Covid-19 boleh mewujudkan peluang pekerjaan baru di samping mengambil kesempatan kos pembinaan yang lebih rendah,” katanya.

Semalam, kekecewaan penduduk Selangor berikutan kekerapan gangguan bekalan air di negeri itu menyebabkan ruangan komen akaun Facebook Amirudin dibanjiri luahan kemarahan netizen.

Walaupun Amirudin memuat naik ‘berita baik’ mengenai gangguan bekalan air yang menjejaskan lebih sejuta pengguna akan mulai pulih, namun kemarahan warga maya tidak dapat dibendung. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.