ILKKM, PKRC diaktif semula rawat pesakit COVID-19

124

20 OKT: Kerajaan mengaktifkan semula Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sungai Buloh dan Pusat Kawalan Kusta Negara (PKKN) sebagai Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah (PKRC) bagi menempatkan pesakit COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata langkah itu susulan terdapat peningkatan jumlah kes positif COVID-19 khususnya di Selangor dan memerlukan kesiapsiagaan rapi bagi menampung pesakit dari negeri itu dan juga dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan negeri berhampiran.

“Kes-kes COVID-19 yang di tahap satu dan dua, tiga (berisiko rendah) diletakkan di ILKKM serta PKKN Sungai Buloh, manakala bagi pesakit di tahap empat dan lima (kritikal) diletakkan di Hospital Sungai Buloh yang telah digazetkan sebagai hopsital COVID-19.

“Sehingga hari ini, terdapat 274 pesakit positif COVID-19 ditempatkan di Hospital Sungai Buloh manakala CPRC (Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Negara) di ILKKM dan PKKN masing-masing seramai 44 dan 411 pesakit positif COVID-19 menerima rawatan di kedua-dua pusat itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Dr Adham berkata, ILKKM dan PKKN boleh menampung seramai 1,200 pesakit dan kementerian pada masa sama telahpun menambah jumlah kakitangan perubatan daripada pelbagai peringkat sebagai persediaan awal.

Sementara itu, mengenai cadangan supaya Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dikuatkuasakan di sesetengah kawasan di Selangor, Dr Adham berkata, pihaknya sedang melihat perkara itu termasuk menilai sekiranya terdapat kawasan tertentu dengan jumlah kes yang tinggi.

“Selangor sekarang berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), sekiranya ada pertambahan kes dan kawasan tertentu yang kita nilaikan risiko tinggi, kita akan cadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuat keputusan.

“Sudah tentu MKN akan melihat risiko yang perlu diatasi dan mendapatkan langkah-langkah tepat dan terbaik sebelum ia dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu Dr Adham berkata, sehingga kini Kementerian Kesihatan menempatkan seramai 1,634 petugas kesihatan yang baharu di tempat-tempat yang memerlukan di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.