Bekalan air Lembah Klang mula pulih

43

20 OKT: Empat loji rawatan air (LRA) di Selangor yang menghentikan operasi awal pagi semalam kini sudah kembali beroperasi.

LRA Sungai Selangor Fasa Satu, Dua, Tiga dan Rantau Panjang memulakan semula operasi jam 6 petang semalam.

Air Selangor dalam satu kenyataan memaklumkan, pengguna di kawasan terjejas dijangka akan menerima semula bekalan air bermula jam 8 pagi ini.

“Semua LRA berkenaan akan memaksimumkan pengeluaran dan memenuhi paip utama dan kolam terminal.

“Air Selangor juga sudah menyediakan pelan pemulihan bekalan air untuk 1,292 kawasan terjejas di Petaling, Gombak, Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

“Selain itu kawasan lain turut terjejas antaranya Kuala Selangor, Kuala Langat dan Hulu Selangor,” katanya, malam tadi.

Menurutnya, Air Selangor juga sudah meggerakkan 91 lori tangki air ke premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis di kawasan terjejas.

Katanya, pengguna juga boleh mendapatkan bekalan air melalui 21 pili awam, 34 tangki statik di 17 pusat khidmat setempat (PKS).

Semua LRA berkenaan dihenti tugas jam 2 pagi tadi selepas pencemaran sumber air mentah dikesan di Sungai Selangor. – Oleh HAIKA KHAZI

Get real time updates directly on you device, subscribe now.