Bekalan air 1130 lokasi belum pulih

88

7 OKT: Sebanyak 162 kawasan telah menerima bekalan air sepenuhnya sehingga jam 10 pagi tadi manakala 1,130 kawasan masih dalam proses pemulihan.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, secara keseluruhan, kira-kira 13 peratus daripada 1,292 kawasan yang terbabit dengan gangguan bekalan air yang tidak berjadual itu sudah pulih sepenuhnya.

“Para pengguna dinasihat agar menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

“Usaha menstabilkan sistem agihan bekalan air sedang giat dilaksanakan untuk mempercepatkan proses pemulihan bekalan air ke kawasan yang masih terjejas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Elina memberitahu, Air Selangor turut menggerakkan sebanyak 121 lori tangki air ke premis-premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis serta kawasan perumahan yang terjejas.

Menurut beliau, pengguna juga boleh mendapatkan bekalan air melalui pili-pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) yang disediakan untuk kemudahan pengguna semasa tempoh pemulihan bekalan air.

“Sila rujuk senarai pili-pili awam dan PKS di laman sesawang www.airselangor.com. Para pengguna dinasihat mematuhi garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa mengambil bekalan air dari lori tangki, pili awam dan PKS.

“Air Selangor menyarankan pengguna untuk mendapatkan maklumat semasa mengenai gangguan bekalan air menerusi media massa dan semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang kami di www.airselangor.com,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH

Get real time updates directly on you device, subscribe now.