Ambil kira COVID-19, PBS tak letak calon di Batu Sapi

88

20 OKT: Parti Bersatu Sabah (PBS) tidak akan meletakkan calonnya untuk bertanding bagi merebut kerusi tradisi parti itu dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi, pada 5 Disember depan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata Biro Politik PBS membuat keputusan berkenaan dalam mesyuaratnya baru-baru dengan mengambil kira pelbagai faktor terutama peningkatkan kes bahawa wabak COVID-19 yang semakin membimbangkan di Sabah, sekarang ini.

Maximus berkata PBS berbuat demikian dengan mengambil berat aspek keselamatan dan kesihatan rakyat sebagai perkara paling penting diutamakan dalam situasi yang mencabar sekarang.

“Sabah terus merekodkan jumlah kes positif COVID-19 yang tertinggi di negara ini. Angkanya mencapai tiga digit dengan jumlah tertinggi 702 kes direkodkan Ahad lalu.

“Disebabkan situasi itu, PBS memutuskan untuk tidak bertanding walaupun ia adalah kerusi yang menjadi kubu kuat PBS. Sebagai parti berbilang kaum, PBS mempunyai ramai ahli dan pengikut di Batu Sapi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maximus yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, keselamatan dan kesihatan awam pengundi serta rakyat di Batu Sapi dan Sandakan adalah lebih utama ketika ini.

Mengulas lanjut, Maximus berkata, beliau turut memaklumkan kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang parti itu akan menyokong mana-mana rakan kongsi dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang mahu bertanding pada PRK berkenaan.

“Walaupun belum diputuskan sama ada rakan lain dalam GRS bertanding atau sebaliknya, PBS komited dan akan memberi sokongan kepada bakal calon dan akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan pihak GRS,” katanya.

Sebelum ini, beberapa parti termasuk Barisan Nasional (BN), Parti Cinta Sabah (PCS), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) sudah menyatakan pendirian masing-masing untuk tidak menyertai PRK itu.

Parlimen Batu Sapi pernah menjadi kubu kuat PBS sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018 yang dimenangi Naib Presiden parti itu, Datin Linda Tsen.

Linda menyandang kerusi itu sejak 2010 melalui PRK bagi Parlimen berkenaan yang diadakan berikutan kematian suaminya yang menjadi Ahli Parlimen Batu Sapi ketika itu, mendiang Datuk Edmund Chong Ket Wah.

PRK Batu Sapi kali ini perlu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong disebabkan jangkitan paru-paru pada 2 Oktober lalu.

Mendiang Vui Keong memenangi kerusi itu atas tiket Parti Warisan Sabah (WARISAN) dengan majoriti 4,619 undi mengalahkan Linda pada 2018.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 November depan sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 1 Disember dan pengundian biasa pada 5 Disember depan.

Get real time updates directly on you device, subscribe now.