98% permohonan bayaran balik pinjaman lulus

123

20 OKT: Kira-kira 98 peratus daripada lebih 640,000 permohonan untuk bantuan bayaran balik pinjaman yang diterima institusi kewangan setakat ini telah diluluskan.

Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan memberitahu, 60 peratus daripada pemohon menerima pengurangan bayaran ansuran termasuk yang berada dalam kumpulan B40.

Menurut bank pusat itu, kira-kira 40 peratus pemohon diberikan pelanjutan moratorium dan kebanyakan mereka terdiri daripada mereka yang baru sahaja kehilangan pekerjaan serta perniagaan dalam sektor yang masih mengalami kekangan operasi yang nyata akibat pandemik COVID-19.

“Dalam kalangan individu yang memohon bantuan bayaran balik pinjaman sehingga kini, kira-kira 50 peratus mempunyai pendapatan bulanan sebanyak RM5,000 atau kurang.

“Sementara itu, 28 peratus adalah daripada mereka yang mempunyai pendapatan bulanan antara RM5,000 hingga RM10,000.

“Peminjam dalam segmen lain yang memerlukan bantuan juga tidak dipinggirkan, antaranya mereka yang mempunyai pendapatan tidak tetap dan mereka yang bekerja dalam sektor yang paling terjejas seperti sektor pelancongan,” katanya.

Sehubungan itu, BNM menggalakkan orang ramai yang terkesan akibat COVID-19 supaya berhubung secara langsung dengan bank masing-masing untuk mendapatkan bantuan secara bersasar.

“Permohonan bantuan bayaran balik pinjaman yang dibuat pada bila-bila masa sebelum 30 Jun 2021 tidak akan dipaparkan dalam laporan CCRIS peminjam.

“Tiada fi/caj pemprosesan bagi permohonan bayaran balik pinjaman untuk peminjam individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), jelas BNM.

Kunjungi https://www.bnm.gov.my/tra untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai sama ada anda memerlukan bantuan secara bersasar dan kelayakan untuk memohon. – Oleh HUSSAINI AMRAN

Get real time updates directly on you device, subscribe now.