862 kes baru, tiga kematian dan 95 di ICU

144

20 OKT: Kes baru COVID-19 hari ini tidak banyak berubah berbanding beberapa hari lalu apabila sebanyak 862 kes lagi dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan kes kini berjumlah 22,225 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri Sabah terus mencatatkan penularan tertinggi dengan 673 kes iaitu bersamaan 78.1 peratus daripada keseluruhan kes.

Beliau berkata, ketika ini lebih banyak ujian makmal telah dapat dijalankan di Sabah dengan 4,754 ujian masih menunggu keputusan.

“Secara keseluruhan hari ini, 235 kes iaitu 27.3 peratus adalah daripada kluster Penjara Kepayan dan Tembok yang sememangnya terasing dari komuniti.

“Selangor pula terus mencatatkan pertambahan kes baru yang tinggi dengan hari ini sebanyak 132 kes dilaporkan. Ini berikutan kepadatan dan pergerakan penduduk yang tinggi.

“Daripada jumlah itu, 84 kes daripada kluster sedia ada termasuk lapan kluster berkaitan sejarah perjalanan pulang dari Sabah,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Menurut Noor Hisham, sebanyak 634 kes sembuh dilaporkan dan ini menjadikan kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 berjumlah 7,681 kes.

Ujar beliau, daripada 862 kes yang dilaporkan hari ini, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan kepulangan dari Indonesia dan Mesir.

Katanya, hari ini juga terdapat empat kes melibatkan pengunjung yang pulang dari Sabah.

“Ini menjadikan jumlah kes berkaitan pulang dari Sabah sejak 20 September lalu ialah 452 kes,” ujarnya.

Sementara itu, selain Sabah dan Selangor, turut melaporkan kes baru hari ini ialah Kedah (17), Perak (9), Pulau Pinang (8), Labuan (6), Negeri Sembilan (6), Kuala Lumpur (6), Putrajaya (1), Johor (1) dan Kelantan (1).

“Sehingga kini 95 individu positif COVID-19 kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 29 memerlukan bantuan pernafasan.

“Dukacita dimaklumkan kes kematian akibat COVID-19 kini berjumlah 193 kes apabila tiga lagi kematian dilaporkan.

“Ketiga-tiga kes melibatkan di Sabah iaitu dua di Tawau dan satu Kota Kinabalu,” katanya.

Menurut Noor Hisham, satu lagi kluster dilaporkan hari iaitu di Kota Belud, Sabah melibatkan Kluster Kertang.

“Setakat ini, 216 individu telah disaring dan 21 dikesan positif. Manakala baki 195 adalah negatif.

“Di Selangor, Kluster Utama merupakan kluster terbesar di negeri itu ketika ini. Kes indeks adalah pengawal keselamatan warga Nepal. Seramai 194 positif dan 865 telah disaring.

“Keseluruhannya, satu pertiga kes di Selangor berpunca daripada kluster dengan sejarah perjalanan ke Sabah dengan dua pertiga adalah dalam kalangan kes dari komuniti,” jelasnya. -Oleh M. HERMAN HAMID

Get real time updates directly on you device, subscribe now.